SALAH (dua kiri) mengalami kecederaan selepas berlaga dengan penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka, Sabtu lalu. — FOTO Reuters
AFP

LIVERPOOL mengalahkan Newcastle untuk kekal bersaing memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris namun tugas mereka pasti lebih sukar apabila perlu melakukan kebangkitan pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Barcelona, awal pagi Rabu ini.

Dua gol lewat Lionel Messi di Nou Camp pertengahan minggu lalu menyebabkan anak buah Juergen Klopp berdepan tugas getir untuk mengatasi defisit 0-3 aksi pertama sekiranya mereka mahu layak ke final Liga Juara-Juara buat tahun kedua berturut-turut.

Liverpool pernah mengatasi defisit sebegitu sebelum ini dalam Liga Juara-Juara, paling diingati pada aksi final 2005 menentang AC Milan.

Namun mereka berdepan tamparan besar untuk merakam kebangkitan terhebat kancah Eropah di kubu kuat Anfield apabila Mohamed Salah diusung keluar kerana cedera di kepala ketika LIverpool mengatasi Newcastle 3-2 Sabtu lalu untuk melonjak dua mata di depan Manchester City di puncak Liga Perdana.


ROBERTSON (kanan) harap Liverpool dibantu sedikit tuah menentang Barcelona. — FOTO Reuters

Salah menyaksikan penamat menarik di St James’ Park dalam bilik persalinan ketika penggantinya Divock Origi menanduk masuk sepakan percuma Xherdan Shaqiri empat minit sebelum tamat.

Origi, yang turut menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-96 untuk mengalahkan Everton pada pertembungan musuh setempat Merseyside Disember lalu, Shaqiri dan Daniel Sturridge turut menyumbang kepada rekod kutipan mata Liverpool musim ini.

“Kami sering bersedia turun ke padang dan melakukan perubahan,” kata pertahanan kiri Liverpool, Andy Robertson.

“Pemain yang terpaksa diketepikan dan pemain yang berada di bangku simpanan dan tidak masuk, mereka tetap memberi makna kepada kami.


TANDUKAN Origi (dua kanan) membantu Liverpool kekal bersaing dengan Manchester City dalam Liga Perdana. — FOTO Reuters

“Tiada perasaan ego dalam skuad ini dan itulah sebabnya kami berada di sini hari ini dan ia mungkin bertahan lama.”

Bagaimanapun, dengan Roberto Firmino terpaksa diketepikan kerana kecederaan pangkal paha, tidak ramai mampu memberi harapan buat Liverpool mengatasi defisit tiga gol itu tanpa dua daripada tiga bintang serangan sekiranya Salah tidak bermula dalam kesebelasan utama.

“Jika kami terlepas peluang musim ini kami akan kembali musim depan dan hanya perlu terus bersaing dan harapnya meraih apa yang sepatutnya dimenangi kelab ini,” kata Robertson.

“Tapi semuanya bermula Selasa ini, satu tugas yang amat perit, cuma jika kami bernasib baik kami akan melangkah ke final.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 1:00 PM