Agensi

AARON Ramsey mengucapkan selamat tinggal penuh emosi kepada penyokong Arsenal, semalam selepas aksi perlawanan terakhir di tempat sendiri sepanjang karier selama 11 tahun bersama kelab London itu.

Ramsey bersama dua lagi pemain meninggalkan kelab itu, Petr Cech dan Danny Welbeck diberikan penghormatan di Emirates selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang hambar berkesudahan seri 1-1 menentang Brighton sekaligus menamatkan harapan empat teratas mereka.

Welbeck dan Cech diberikan sambutan hangat tetapi emosi memuncak ketika Ramsey diperkenalkan sehingga membuatkan penyokong setia Arsenal dan pemain mengalirkan air mata.

Ramsey yang menyertai kelab itu sebagai pemain muda berbakat ketika berusia 17 tahun dari Cardiff turut sebak ketika penyokong Arsenal meraikan karier gemilangnya menjelang perpindahan percuma ke Juventus pada musim panas ini.

Selepas menerima tepukan gemuruh sambil berdiri, Ramsey bergelut menahan emosi mengingat kembali karier panjangnya di utara London menyaksikannya menjaringkan dua gol kemenangan Piala FA selepas mengalami patah kaki yang teruk.

Ramsey memberitahu Sky Sports: “Ia begitu emosi. Ia perjalanan yang sukar sepanjang 11 tahun hidup saya. Banyak perkara berlaku dan saya boleh memberitahu berdasarkan suara saya bagaimana ia begitu berharga kepada saya.

“Saya berterima kasih terhadap peluang diraih beraksi bersama kelab hebat ini”.

“Saya menghabiskan masa 11 tahun di sini (London). Saya meninggalkan tempat ini sebagai lelaki bersama isteri saya, anak-anak saya dan banyak perkara berlaku.

“Saya tidak sabar untuk menyahut cabaran baru dalam hidup saya tetapi semuanya sekarang mengenai perkara ini.

“Inilah kelab saya membesar. Saya mahu menyelesaikannya untuk beberapa hari sebelum fokus kepada kelab baru, Juventus.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 1:16 PM
Ramsey bersama dua anaknya mengucapakn selamat tinggal kepada penyokong Arsenal. FOTO REUTERS
Ramsey bersama dua anaknya mengucapakn selamat tinggal kepada penyokong Arsenal. FOTO REUTERS