Liew (bertopi), Anand (tengah) dan Azmi bersama pasukan MC Cagers meraikan kemenangan Piala Hamdan Tahir. FOTO Azmi Jimat
Liew (bertopi), Anand (tengah) dan Azmi bersama pasukan MC Cagers meraikan kemenangan Piala Hamdan Tahir. FOTO Azmi Jimat
Nor Hairulnizam Wahid


PASUKAN bola keranjang Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) melakar sejarah tersendiri apabila mempertahankan Piala Tun Hamdan Sheikh Tahir dengan menjuarai edisi ke-44 Kejohanan Bola Keranjang Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan 2019, semalam.

Pada kejohanan yang diadakan di Stadium MABA, Kuala Lumpur, pasukan berkenaan menewaskan Sekolah Alam Shah (SAS), 67-60.

Menariknya, pasukan yang gah dengan gelaran MC Cagers, menewaskan pasukan sama tahun lalu sekali gus membolehkan mereka menjulang Piala Hamdan Tahir buat kali ke-18.

Malah ini tahun ketiga berturut-turut kedua-dua pasukan bertemu di pentas final namun tewas pada 2017 sebelum menebusnya pada 2018 dan 2019.

Untuk rekod, pasukan kendalian jurulatih berpengalaman Liew Yong-Choon turut menjuarai kejohanan itu pada 1977, 1979, 1981, 1982, 1983, 1985, 1992, 1993, 2004, 2005, 2006, 2007, 2008, 2011, 2012 dan 2014.

Kejuaraan yang diadakan sejak 1974 itu turut menyaksikan MCKK muncul naib juara sebanyak 10 kali.

Pada kejohanan sama juga, pemain MC Cagers, Muhammad Aiman Sabri turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP).

Hadir sama untuk meraikan kemenangan itu adalah Pengetua MCKK, Anand Baharuddin. "Alhamdulillah. Kamilah Juara!" kata Penolong Kanan Hal Ehwal Murid MCKK, Azmi Jimat yang juga merangkap pengurus pasukan di akaun Facebooknya.

"Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang dilalui kami semua selama setahun membentuk pasukan Cagers19 untuk mempertahankan Piala Hamdan Tahir.

"Terima kasih kepada penyokong, ibu bapa, murid tua, rakan guru dan teristimewa keluarga tersayang yang menjadi tulang belakang yang tidak pernah jemu menyokong selama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 5:26 PM