PENCAPAIAN Azeem mendapat perhatian KBS.
PENCAPAIAN Azeem mendapat perhatian KBS.
Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: “Azeem mahu menjadi seorang atlet dan pelajar yang berjaya dengan menjadikan Nazmizan Muhammad (bekas pelari pecut) sebagai idolanya,” kata Mohd Fahmi Tajwid, bapa kepada Muhammad Azeem, 15, yang diiktiraf sebagai remaja terpantas dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B16) dalam acara 200 meter (m) menerusi catatan 21.24 saat.

Beliau berkata, buat masa ini Azeem sudah membuat keputusan untuk kekal di Perak dan mengejar semula pelajaran yang tertinggal.

Mengulas mengenai tawaran latihan di luar negara daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Fahmi berkata, mungkin ketika ini bukan waktu sesuai buat Azeem meninggalkan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak untuk menghantar Azeem ke luar negara selepas dia menamatkan pelajaran di tingkatan lima.

“Saya mahu dia membesar dan matang seiring dengan usianya. Menyusun langkahnya satu demi satu.

“Tapi saya juga tidak menghalang jika dia sudah membuat keputusannya. Dia pernah berkata kepada saya, bahawa dia mahu menjadi seperti Nazmizan. Berjaya sebagai atlet dan juga mempunyai kerjaya sebagai pensyarah.

“Jadi saya tidak mahu memaksanya dan sebarang keputusan biar dia yang putuskan,” katanya.

Menurut Fahmi, Azeem masih meneruskan kehidupan seperti biasa, seperti pelajar lain yang berusia 15 tahun dengan tumpuan kini terarah kepada Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Biarpun nama Azeem menjadi sebutan selepas mencetuskan fenomena dalam sukan olahraga negara baru-baru ini, Fahmi berkata, anaknya itu masih seperti Azeem yang dulu.

“Tiada banyak yang berubah. Azeem masih lagi seorang pelajar dan anak yang mendengar kata dan bertanggungjawab.

“Biarpun namanya menjadi tumpuan, Alhamdulillah semua itu tidak mengganggunya,” katanya.

Pencapaian Azeem dengan meraih tiga emas dan tiga rekod di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor bulan lalu mencetuskan impak luar biasa.

Selain itu, lariannya yang penuh bersahaja dalam acara 100m menjadi tular di laman sosial sehingga Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberikan jolokan kepadanya sebagai Usain Bolt Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 8:00 AM