PRESIDEN SRAM, Nik Razeen Daud (enam kiri barisan belakang) bersama Pengerusi Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah Heng (tengah barisan belakang) bergambar bersama pihak pengurusan dan pemain squash negara.
Aida Adilah Mat


PERSATUAN Raket Skuasy Malaysia (SRAM) tidak akan menurunkan barisan terbaik negara untuk beraksi di temasya Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, S Maniam, berkata, beliau yakin dan percaya barisan kedua negara sudah cukup untuk merealisasikan sasaran yang ditetapkan kepada mereka iaitu empat emas.

Malah persaraan Datuk Nicol David dan Nafiizwan Adnan juga tidak merencatkan persediaan skuad negara ke temasya itu.

"Memang setiap tahun di Sukan SEA kami menurunkan barisan kedua. Ia sudah cukup kuat untuk mencapai sasaran empat emas. Kami tidak akan menurunkan empat pemain terbaik negara ketika ini.

"Persaraan Nicol dan Nafiizwan tidak menjejaskan persediaan di peringkat Sukan SEA tapi ia menjejaskan persiapan untuk ke kejohanan lebih tinggi seperti Kejohanan Dunia dan lain-lain," katanya yang menurunkan barisan kedua ketika negara menjadi tuan rumah dua tahun lalu.

Pada Sukan SEA Manila, sebanyak enam emas dipertandingkan membabitkan acara perseorangan lelaki dan wanita, beregu campuran, berpasukan campuran dan jumbo lelaki dan wanita yang mana Malaysia tidak akan mengambil bahagian dalam acara jumbo.

Cabaran negara akan digalas oleh Mohd Addeen Indrakie, Ong Sai Hung dalam acara perseorangan lelaki. Lai Wen Li dan Rachel Arnold (perseorangan wanita).

Darern Rahul, Sai Hung, Addeen, Wen Li, Rachel (berpasukan campuran) dan Sai Hung akan bergandingan bersama Wen Li dan Darren bersama Chan Yiwen (beregu campuran).

Dua tahun di Sukan SEA Kuala Lumpur, barisan pemain negara menyumbangkan enam emas dari sembilan emas yang dipertaruhkan selain turut merangkul empat perak dan dua gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 6:54 PM