REAKSI Henderson selepas Liverpool mengejutkan Barcelona di Anfield, awal pagi tadi. — FOTO EPA
REAKSI Henderson selepas Liverpool mengejutkan Barcelona di Anfield, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

JORDAN Henderson menegaskan semangat sepasukan “istimewa” Liverpool menjadi kunci utama kejayaan “mengagumkan” mengatasi Barcelona pada separuh akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Anak buah Juergen Klopp merakam satu daripada kebangkitan terhebat dalam sejarah Liga Juara-Juara apabila menang 4-0 pada aksi kedua yang membantu kejayaan 4-3 secara agregat di Anfield.

Dua gol masing-masing sumbangan Divock Origi dan Georginio Wijnaldum menjadikan Liverpool hanya pasukan ketiga dalam sejarah Piala Eropah mengatasi defisit tiga gol pada separuh akhir.

Mereka akan berdepan sama ada Ajax atau Tottenham bagi final Liga Juara-Juara kedua berturut-turut selepas tewas di tangan Real Madrid tahun lalu.

HENDERSON (kanan) cuba mengekang kemaraan Messi pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara. — FOTO AFP
HENDERSON (kanan) cuba mengekang kemaraan Messi pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara. — FOTO AFP

Kapten Liverpool, Henderson mendedahkan faktor bersatu hati dalam kalangan skuad itu memastikan mereka tidak pernah meragui mampu mengatasi Lionel Messi dan pasukan bintangnya.

“Sukar dipercayai! Saya tak fikir ramai memberi kami peluang. Kami sedar ia sukar tapi masih boleh dilakukan,” kata Henderson kepada BT Sport.

“Keyakinan yang kami miliki dalam bilik persalinan amat mengagumkan. Kami sedar boleh melakukan sesuatu yang istimewa di Anfield. Lihat saja kepada peminat dan pemain - malam ini amat istimewa.

“Kami mahu bermula pantas. Kami mendapat gol awal yang ternyata membantu. Ia bukan sekadar gol, ia untuk mengatasi dan memberi tekanan terhadap mereka.

“Kami tahu jika kami bermain sepenuh hati jiwa dan raga maka kami mempunyai peluang.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 7:29 AM