BUSQUETS (kanan) dan Gerard Pique kecewa kalah di tangan Liverpool di Anfield. — FOTO EPA
Reuters

PEMAIN tengah Barcelona, Sergio Busquets memohon maaf kepada peminat kelab itu selepas pasukannya tersingkir pada separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi, kalah 0-4 di tangan Liverpool yang mara dengan agregat 4-3.

Ia tahun kedua berturut-turut Barca mensia-siakan kelebihan tiga gol daripada aksi pertama sekali gus terkeluar daripada persaingan, terkandas di tangan AS Roma pada suku akhir musim lalu apabila tewas 0-3 di ibu negara Itali itu.

“Mereka lebih bagus berbanding kami, mereka mencuba habis-habisan untuk menang sejak awal dan kami bergelut dengan tekanan terutama pada awal setiap babak,” kata Busquets.

“Saya tak boleh cakap apa lagi, apa yang saya boleh katakan meminta maaf kepada penyokong kami kerana selepas tahun lalu di Rome, untuk terkeluar sebegini selepas keputusan bagus pada aksi pertama amat sukar, tiada apa lagi yang saya boleh katakan.”


KAPTEN Barcelona, Lionel Messi (tengah) gagal kemudi pasukannya ke final Liga Juara-Juara. — FOTO AFP

Barca kelihatan di ambang layak ke final buat kali pertama sejak 2015 selepas inspirasi Lionel Messi menyaksikan mereka menang 3-0 pada aksi pertama di Nou Camp namun mereka tenggelam dalam tekanan Liverpool dan ketinggalan seawal minit ketujuh menerusi jaringan Divock Origi.

Busquets berkata, pasukannya tidak terdaya menangani corak permainan menekan Liverpool.

“Sebaik mereka menjaringkan gol dan mereka menekan kami sepanjang masa ia terlalu sukar. Saya fikir kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol yang kami perlukan tapi tidak berjaya,” kata pemain tengah Sepanyol itu.

“Apabila anda berdepan pasukan sebegini yang menekan anda di segenap penjuru padang dan anda tidak menggunakan peluang, mereka akan terus mengasak dan dengan suasana bingit di sini ia terlalu sukar.”


BUSQUETS dilayangkan kad kuning oleh pengadil Cuneyt Cakir selepas mengasari Fabinho. — FOTO Reuters

Pemain gantian Georginio Wijnaldum meledak dua gol dalam tempoh dua minit pada awal babak kedua untuk menyamakan agregat.

Origi kemudian meletakkan Liverpool di depan secara agregat buat kali pertama terima kasih kepada kepantasan berfikir Trent Alexander-Arnold susulan sepakan sudut yang mengelirukan benteng Barca.

“Gol keempat satu kesilapan setiap orang kerana kami semua terkejut. Mereka lebih bijak berbanding kami untuk mengambil sepakan sudut dengan pantas dan kemudian mereka mengawal bola,” jelas Busquets.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 1:27 PM