Messi diarahkan menjalani ujian doping selepas perlawanan. FOTO REUTERS
Agensi

BAS pasukan Barcelona meninggalkan Anfield tanpa Lionel Messi selepas kelab Catalan itu kalah 4-0 kepada Liverpool pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Messi melalui detik teruk bersama kelabnya pada perlawanan itu selepas Liverpool membuat kebangkitan mengejutkan menyingkirkan Barca daripada saingan berprestij Eropah itu.

Barcelona kelihatan seperti memiliki kelebihan selepas kejayaan 3-0 pada separuh akhir pertama di Camp Nou, minggu lalu.

Skuad Jurgen Klopp menyumbat empat gol tanpa balas untuk menempah tiket untuk aksi final UCL di Madrid pada 1 Jun.


Messi meninggalkan Anfield lebih lewat berbanding rakan sepasukan Barcelona. FOTO Twitter

Messi terpaksa menunggu lebih lama kerana diarahkan menjalani ujian doping secepat mungkin selepas perlawanan itu menyaksikan Barca tewas 4-3 secara agregat.

Menurut laporan El Chiringuito, proses itu mengambil masa panjang menyebabkan bas pasukan tidak dapat menunggu lama kerana perlu bergegas ke lapangan terbang.

Sampel air kencing Messi akhirnya berjaya diambil sebelum program pemain Argentina itu diatur semula bersama keseluruhan skuad dan kakitangan kejurulatihan sebelum kembali ke Sepanyol.

Messi dilihat melalui zon campuran di Anfield lebih lewat berbanding pemain Barcelona yang lain tetapi tidak berkata apa-apa kepada media ketika dia dibawa keluar daripada stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 1:40 PM