WEE Wern mahu cipta kejutan di Terbuka British.
Ferzalfie Fauzi

PEMAIN skuasy wanita negara, Low Wee Wern bersedia fokus sepenuhnya di Terbuka British dan melupakan kekecewaan kali kedua berturut-turut tumpas kepada Annie Au dari Hong Kong.

Menurutnya, Terbuka British yang akan berlangsung dua minggu lagi menyaksikan dia sekali lagi tidak diletakkan pemain pilihan berikutan kedudukan ranking namun ia bukan penghalang buatnya untuk melakukan kejutan.

"Di pusingan pertama saya akan berdepan Fiona Moverley dari England dan ini kejohanan kedua atau ketiga bertaraf platinum sejak saya kembali beraksi," kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Ujar Wee Wern, beraksi di kejohanan besar itu sesuatu sangat dirinduinya kerana membuka peluang menentang pemain handalan dunia lain.

"Memang ada kerja lain perlu dilakukan sebaik tamat Kejohanan Individu Asia, apa pun saya harus sentiasa membiasakan diri berdepan pemain yang berada di kedudukan 10 terbaik dunia.

"Sejak Julai lalu sudah tiga kali saya berdepan pemain di kelompok 10 terbaik dunia. Bagi menilai dan mempertingkatkan permainan saya, saya perlu membiasakan diri dengan perlawanan seperti ini," katanya.

Dalam masa sama, dia juga mengakui tahap kecederaan di bahagian betis ketika dialami di perlawanan akhir Terbuka Macau bulan lalu juga semakin baik.

"Saya mempunyai kurang dua minggu untuk kembali sembuh sebelum mengambil bahagian di Kejohanan Invidu Asia (minggu lalu). Sebelum ini saya sukar mengejar bola tapi sekarang tidak lagi.

"Sekarang tumpuan saya mempersiapkan diri sebaik mungkin sebelum beraksi di Terbuka British," katanya.

Selepas tumpas kepada Annie dalam perlawanan akhir Terbuka Macau, Wee Wern sekali lagi tidak terdaya untuk mengalahkan pemain nombor 11 dunia itu apabila tumpas di separuh akhir Kejohanan Individu Asia Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 10:12 PM