SYAFIQ (dua dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang Kashima Antlers. - FOTO Hairul Anuar Rahim
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my

PENYERANG Syafiq Ahmad muncul wira Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas jaringan tunggal pada babak kedua sudah cukup memalukan juara bertahan, Kashima Antlers dari Jepun 1-0 dalam aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Walaupun menang, peluang JDT untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik tampak sukar selepas Shandong Luneng FC dari China menewaskan Gyeongnam FC dari Korea Selatan 2-1 dan skuad Harimau Selatan perlu berdepan kelab dari Korea Selatan itu pada aksi terakhir di gelanggang lawan 22 Mei nanti.

Kashima Antlers pula berdepan laluan berliku dan perlu menang berdepan kelab dari China itu jika mengidam slot ke pusingan seterusnya.

Dalam perlawanan itu rombakan kecil dilakukan ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora selepas menyenaraikan Syafiq mengemudi jentera serangan bagi menggantikan Diogo Luis Santo yang digantung satu perlawanan.

Tuan rumah tampak bermula dengan corak permainan berhati-hati tanpa mahu melakukan sebarang kesilapan sambil menyusun strategi untuk mengasak kubu lawan dengan menguji penjaga gol, Kwoun Suntae pada minit ke-10 menerusi sepakan percuma Safawi Rasid.

Skuad kendalian Go Oiwa juga tidak mahu melepaskan peluang mengasak kubu tuan rumah apabila bola rembatan deras Leo Silva pada minit ke-13 berjaya ditepis penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan bagi mengelak gawang dibocori.

Percubaan terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-38 apabila bola rembatan Nazmi Faiz Mansor hampir memerangkap Suntae namun penjaga gol Kashima Antlers sempat menutup ruang untuk menolak keluar bagi mengelak bola menerjah jaring.

Kashima Antlers melepaskan peluang terhidang pada minit ke-40 apabila bola sepakan lintang kapten Endi Yasushi yang bergerak di posisi sayap kiri gagal disudah dengan kemas Sho Ito yang sekadar merembat bola melepasi palang gol ketika Izham Tarmizi sudah tertewas.

Pada babak kedua pelawat mula menggandakan asakan untuk memecah kebuntuan namun kekentalan benteng tuan rumah diterajui Mauricio Nascimento dan Aidil Zafuan Abd Radzak berjaya menghalang beberapa gerakan berbahaya lawan.

Tuan rumah melakar kejutan ke atas juara bertahan selepas menembusi gawang lawan pada minit ke-69 apabila Syafiq secara solo menyusup masuk ke dalam kotak penalti biarpun cuba diapit dua pertahanan namun bingkas melencongkan bola tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Suntae.

Jaringan itu sudah cukup memastikan JDT meraih tiga mata pertama dalam penampilan pertama kancah kelab elit Asia dan jelas membanggakan walaupun tidak diletak harapan tinggi tatkala sekadar menimba pengalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 10:47 PM