Ozil (kiri) dan Mustafi menjalani latihan sebelum menentang Valencia. FOTO REUTERS
Agensi

UNAI Emery sudah tidah sabar untuk melepaskan Mesut Ozil dan Henrikh Mkhitaryan bersama tiga bintang lagi pada jendela perpindahan musim panas.

Bos Arsenal itu sedang menyiapkan perancangan terakhirnya selepas yakin beberapa pemain utama ada sekarang tidak cukup bagus.

Ozil berdepan kritikan musim ini disebabkan tidak konsisten manakala rakan senegaranya dari Jerman, Shkodran Mustafi juga dibuka untuk jualan.

Akhbar tabloid Britain, The Sun mendakwa Arsenal sedang mencari pembeli untuk pemain mereka iaitu Ozil, Mkhitaryan, Mustafi, Mohamed Elneny dan Carl Jenkinson.

Ozil dan Mkhitaryan menerima pendapatan tinggi di Emirates dan Emery mahu mendapatkan pulangan wang untuk mendapatkan beberapa pemain baru.

Mkhitaryan dilaporkan menerima sebanyak £180,000 (RM972,000) seminggu manakala Ozil adalah pemain menerima pendapatan tertinggi kelab itu dengan kontrak sekitar £350,000 (RM1.9j) seminggu.

Pemain bek tengah, Mustafi menjadi tajuk utama kritikan musim ini selepas teruk dihentam penyokong The Gunners kerana melakukan beberapa kesilapan berprofil tinggi di bahagian pertahanan.

Tanpa Liga Juara-Juara (UCL), hanya terdapat sedikit wang diperolehi oleh Emery pada musim panas ini dan ketua jurulatih itu mahu mendapatkan pembiayaan menerusi jualan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 1:05 PM