Neville mengirim Tweet bersama reaksi beberapa peminat United dan Spurs. FOTO Twitter
Twitter

PENYOKONG Arsenal dan Manchester United tenggelam punca selepas menyaksikan dua musuh ketat mereka mempamer kebangkitan hebat dalam sejarah Liga Juara-Juara (UCL).

Tottenham meledak tiga gol di Amsterdam untuk menewaskan Ajax 4-3 secara agregat dan mara ke final.

Mereka akan berdepan Liverpool di Madrid selepas Reds membelasah Barcelona 4-0 di Anfield untuk membalas kekalahan 0-3 pada perlawanan pertama di Nou Camp.

United dan Arsenal pada masa yang sama tercicir dalam saingan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) biarpun The Gunners boleh menjulang gelaran dengan memenangi Liga Europa.

Keputusan dua perlawanan EPL terbabit bermakna penyokong kedua-dua pasukan itu memberi sokongan kepada kelab pencabar mereka.

Apa yang pasti, penyokong United akan menyokong Spurs manakala penyokong Arsenal yang begitu terdesak menyokong Liverpool yang dalam laluan meraih gelaran ke-6 di peringkat Eropah.

Bekas pemain United, Gary Neville mengirim logo kelab Tottenham di twitter dengan kapsyen berbunyi: "Mereka berhak mendapat piala ini betul tak?”

Seorang peminat yang sedang berkonflik menulis: "Penyokong Man utd dan Arsenal. Tengok apa sudah jadi dengan kita sekarang."

Seorang lagi berkata: "Penyokong Man Utd memberi sokongan kepada Spurs dan peminat Arsenal menyokong Liverpool pada final di Madrid."

Seorang peminat sempat berjenaka: "Ia bukan final Liverpool Spurs. Ia perlawanan antara penyokong Man Utd dan penyokong Arsenal."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 6:03 PM