CECH (kanan) meraikan kejayaan Arsenal bersama pertahanan Laurent Koscielny di Valencia, awal pagi tadi. — FOTO AFP
Reuters

PENJAGA gol Arsenal, Petr Cech teruja untuk bertemu bekas kelabnya Chelsea pada final Liga Europa yang mungkin menjadi perlawanan terakhir karier gemilangnya.

Dia membantu pasukannya layak ke final di Baku pada 29 Mei ini dengan kemenangan agregat 7-3 ke atas Valencia awal pagi tadi manakala Chelsea menyingkirkan Eintracht Frankfurt menerusi penentuan penalti bagi mencetus pertembungan dua kelab London.

“Ia pasti luar biasa menamatkan karier saya jika saya bermain final pertandingan Eropah menentang bekas pasukan saya,” kata Cech, yang melakukan 333 penampilan buat Chelsea dari 2004 hingga 2015, kepada BT Sport.

“Anda mempunyai hari yang mana anda bermain bagus dan fikir anda boleh meneruskannya tapi saya sudah membuat keputusan untuk bersara selepas banyak kali berfikir. Saya mungkin boleh bermain dua tahun lagi tapi lebih baik saya bersara lebih awal daripada terlalu lewat.”


CECH menyelamatkan percubaan pemain Valencia di Mestalla, awal pagi tadi. — FOTO AFP

Cech, yang memulakan musim sebagai penjaga gol nombor satu kelab itu namun kini kehilangan tempatnya kepada Bernd Leno, beraksi dalam setiap perlawanan kalah mati Liga Europa, tidak dibolosi dalam dua aksi menentang Napoli pada suku akhir.

Ketika Arsenal sudah tidak mampu mengejar penamat empat teratas Liga Perdana - mereka memerlukan perbezaan lapan gol dan pasukan tangga keempat Tottenham kalah - pengurus Unai Emery mesti memutuskan sama ada memberi Cech tambahan 90 minit aksi pada perlawanan terakhir liga Ahad ini bagi mempersiapkan diri sebelum ke Baku.

“Dengan semua pengalaman yang saya miliki, saya boleh mengimbangi rentak perlawanan dengan persediaan saya,” kata bekas pemain kebangsaan Czech berusia 36 tahun itu, yang mengumumkan Januari lalu dia akan bersara hujung musim ini.

“Kuncinya bagaimana anda bersiap sedia dalam latihan dan saya sering bertindak serupa sama ada saya bermula dalam kesebelasan utama atau di bangku simpanan. Saya sering berasa yakin bersedia untuk turun bermain.

“Impian terakhir adalah bermain pada final Eropah dan ia menjadi kenyataan. Kini impiannya adalah untuk menjuarainya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 9:23 AM