AKSI Hazard menjaringkan penalti di Stamford Bridge. - FOTO Reuters
Reuters

EDEN Hazard mahu melakukan apa sahaja bagi membantu Chelsea muncul juara Liga Europa yang berkemungkinan aksi terakhirnya bersama kelab itu.

Hazard menyempurnakan penalti kemenangan ketika menewaskan Eintracht Frankfurt 4-3 awal pagi tadi dan mara ke final berdepan Arsenal di Baku pada 29 Mei.

Pemain berusia 28 tahun itu dijangka meninggalkan Chelsea pada penghujung musim selepas tujuh tahun di Stamford Bridge dengan media British mengaitkannya dengan Real Madrid.

"Jika ia aksi terakhir, saya akan melakukan apa sahaja untuk kelab menjulang trofi,” kata Hazard.

"Dalam minda saya, belum terfikir mengenainya lagi. Saya hanya memikirkan memenangi sesuatu untuk kelab ini.

"Kami beraksi dengan baik tetapi separuh akhir tidak mudah. Kami sangat gembira dan akan ke Baku untuk menjulang trofi.”

Rakan sepasukan Hazard, Ruben Loftus-Cheek dan Willian berharap pemain Belgium itu akan terus kekal bersama mereka. Chelsea dilarang mencari pengganti Hazard selepas FIFA mengekalkan larangan perpindahan pemain selama setahun ke atas kelab itu.

Dengan Chelsea menentang Leicester City pada aksi terakhir liga musim ini, penalti Hazard itu mungkin sepakan terakhirnya di Stamford Bridge tetapi dia tahu ada tugas lagi besar menantinya di Azerbaijan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 5:46 PM