AHMAD Shapawi
BERNAMA

SEJUMLAH 19 pemain sukan elektronik (e-Sukan) akan mewakili negara dalam lima acara pada Sukan SEA Filipina, November ini apabila sukan itu membuat penampilan sulung pada temasya dwitahunan itu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pemain tersebut telah dipilih oleh Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) menerusi kejohanan Grand Final sesi kelayakan Sukan SEA 2019, hujung minggu lalu.

Beliau berkata sasaran ditetapkan ialah tiga kedudukan podium dan sekurang-kurangnya satu pingat emas daripada permainan tersebut, iaitu Dota 2 dan Starcraft II (PC); Arena of Valor dan Mobile Legends (mobile) serta Tekken 7 (console).

“MSN akan mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada pemain dengan beberapa syarat seperti keperluan latihan sepenuh masa, pemeriksaan kesihatan, kecergasan dan sebagainya yang bakal dibantu ISN (Institut Sukan Negara).

“Kita juga perlu membincangkan mengenai kesediaan pemain untuk mengikuti program latihan sepenuh masa atau sebaliknya kerana ada yang sudah mempunyai kerjaya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja MSN-ESM yang pertama, hari ini.

Shapawi menegaskan latihan itu perlu mengikut kebiasaan seperti sukan-sukan lain, mengikut struktur kejohanan supaya pemain dapat menyesuaikan diri untuk cabaran Sukan SEA nanti.

Beliau berkata, venue latihan pusat yang dikenal pasti adalah Orange E-sports Stadium di Setapak yang mempunyai kemudahan lengkap dan ia dapat dilakukan berdasarkan konsep kerjasama kerajaan, persatuan dan sektor swasta.

Shapawi berkata sekiranya mana-mana pemain yang terpilih menarik diri, ESM mempunyai 19 pemain dalam senarai menunggu untuk ditawarkan tempat tersebut sebelum tarikh akhir penghantaran nama kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Julai ini.

“Mereka akan dihantar ke beberapa kejohanan, tetapi yang penting adalah kejohanan yang dianjurkan Razer (SEA Games e-Sports Partner) di Singapura sebagai pendedahan kepada pemain kita,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha ESM, Hisyam Darus berkata, pihaknya sedang merancang butiran lanjut mengenai latihan, pelantikan jurulatih dan beberapa perkara lain.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 9:59 PM