FEDERER melambai kepada penonton selepas tewas aksi suku akhir. — FOTO AFP
AFP

DOMINIC Thiem menyelamatkan dua mata penamat dan menamatkan babak pertama kepulangan Roger Federer ke gelanggang tanah liat apabila menang 3-6, 7-6 (13/11), 6-4 untuk layak ke separuh akhir Terbuka Madrid, awal pagi tadi.

Pemain Switzerland berusia 37 tahun itu kembali minggu ini ke gelanggang tanah liat buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun – perlawanan terakhirnya di gelanggang tanah liat kalah di tangan Thiem di Rome pada 2016.

Ketika Federer tersingkir, tiada masalah buat pilihan utama Novak Djokovic yang layak ke separuh akhir apabila Marin Cilic menarik diri dan pilihan kedua Rafael Nadal membenam Stanislas Wawrinka 6-1, 6-2.

Thiem, naib juara Roland Garros 2018 dan juara di Barcelona bulan lalu, menang dalam tempoh dua jam 10 minit menentang Federer selepas menyelamatkan dua mata penamat dalam tempoh 15 minit tie-break set kedua.


NADAL meraikan kejayaan ke separuh akhir Terbuka Madrid. — FOTO Reuters

Dia akan berdepan pemain nombor satu dunia Djokovic hari ini, yang mendapat kemenangan percuma selepas Cilic menarik diri susulan sakit perut.

Juara lima kali Nadal memerlukan hanya sejam untuk layak ke separuh akhir Terbuka Madrid kali ke-11 dan berdepan pemain Greece, Stefanos Tsitsipas yang mengalahkan juara bertahan Alexander Zverev 7-5, 3-6, 6-2.

“Ia perlawanan yang bagus buat saya. Stan bukannya lawan yang mudah tidak kira apa pun keputusannya,” kata Nadal selepas penampilan ke-14 dalam tempoh 15 tahun di ibu negara Sepanyol itu.

“Saya terpaksa bermain dengan baik dan mencapai tahap terbaik.”

Federer berkata, dia gembira untuk melakukan kemunculan semula di gelanggang tanah liat.

“Saya berasa amat bagus dengan permainan saya. Saya fikir ada beberapa perlawanan yang bagus di sini,” kata juara 20 gelaran Grand Slam itu. “Saya berasa bagus di gelanggang tanah liat sekarang.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 1:54 PM