BIBI Ramjani mahu penggantinya benar-benar mampu mengubah nasib skuad Kelantan.
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my

PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) menarik nafas lega apabila disahkan tuntutan bekas Pengarah Teknikalnya, Alfredo Carlos Gonzalez berjaya diselesaikan dengan menolak geran tahunan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Perkara itu dimaklumkan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan yang baharu menerima surat pengesahan daripada MFL yang bersetuju membayar terus kepada Gonzales berjumlah RM235,686.

"Terima kasih kepada MFL dan FAM yang menerima permohonan KAFA supaya geran tahunan ditolak dan dibayarkan terus kepada FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan Gonzalez.

"Kalau tidak, pasukan Kelantan kemungkinan terpaksa menerima hukuman lebih berat jatuh beraksi ke liga bawahan walaupun kita dapat menamatkan tempat di Liga Perdana pada kedudukan selamat," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengarahkan KAFA membayar tuntutan kepada Gonzalez, denda FIFA dan kos prosiding yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM235,686 dalam tempoh 30 hari bermula bulan lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai kemelut dan pergolakan dalaman sedang dihadapi olehnya, Bibi menjelaskan beliau tidak berdepan masalah untuk melepaskan jawatan itu.

Namun, beliau menegaskan individu baharu yang mahu mengambil alih tempatnya haruslah serius dan benar-benar layak serta mendapat kepercayaan ahli gabungan KAFA.

"Saya 'ok' saja nak pergi (letak jawatan). Tapi biarlah cari orang yang betul-betul nak mengubah nasib Kelantan kerana saya tak mahu apabila keluar nanti mereka menyalahkan pemerintahan lama pula," katanya.

Ketika ini Bibi didesak supaya melepaskan jawatan dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz sedia mengisi kerusi panas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 10:14 PM