KIKI bangga memperaga trofi kategori wanita Terbuka Madrid. — FOTO Reuters
AFP

PEMAIN Belanda, Kiki Bertens melakukan kejutan apabila menang 6-4, 6-4 ke atas Simona Halep untuk menjuarai Terbuka Madrid awal pagi tadi, sekali gus menafikan pemain Romania itu kembali ke puncak ranking dunia.

Simona boleh menyingkirkan Naomi Osaka daripada nombor satu dengan kemenangan di ibu negara Sepanyol itu namun sebaliknya Kiki yang mencipta sejarah, muncul pemain Belanda dengan ranking tertinggi melonjak ke tangga keempat dunia.

Kiki meraih kejuaraan perseorangan kesembilan WTA, selain cek 1.2 juta euro (RM5.6 juta) manakala kejayaannya menjadi penebus kekecewaan tahun lalu di Madrid, apabila dia tewas kepada Petra Kvitova pada final.

Simona memburu kejuaraan ketiga dalam empat tahun pada kejohanan itu namun gagal bertindak cemerlang menyekat kehebatan Kiki.

Kiki sebaliknya lebih menyerlah dan muncul pemain wanita pertama memenangi kejuaraan itu tanpa kalah sebarang set.

Berdasarkan persembahan itu, dia menjadi pencabar utama pada Terbuka Perancis hujung bulan ini yang mana Kiki layak ke separuh akhir pada 2016 sebelum dikecewakan Serena Williams.

“Saya terlalu gembira memenangi trofi ini,” kata Kiki. “Ia terlalu bermakna buat saya selepas berjaya mara ke final di sini tahun lalu.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 12:52 PM