Penyokong Liverpool memberi sokongan kepada pasukannya ketika berdepan Wolver di Anfield pada Ahad. FOTO Reuters.
Andy Robertson (kanan) berdepan pemain Barcelona, Lionel Messi dalam aksi Liga Juara-Juara minggu lalu. FOTO EPA

Reuters

LIVERPOOL mampu belajar daripada kesilapan selepas semakin hampir memenangi trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan akan kembali dengan lebih kuat pada musim depan kata pemain pertahanan Andy Robertson.

Kelab Merseyside itu menamatkan kempen dalam saingan liga dengan satu mata di belakang juara Manchester City, yang muncul juara dua tahun berturut-turut selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol menewaskan Brighton and Hove Albion pada Ahad.

Liverpool menamatkan saingan dengan 97 mata, iaitu pungutan mata tertinggi bagi mana-mana pasukan di tempat kedua dalam sejarah liga Inggeris, dan hanya tewas satu perlawanan liga musim ini - di City pada Januari.

“Kami tidak melakukan banyak kesilapan, tetapi kami belajar daripada perkara itu,” kata Robertson menerusi laman web Liverpool.

“Yang bagusnya City tahu kami berada pada tahap ini sekarang dan kami tidak akan ke mana-mana.


Andy Robertson (kanan) berdepan pemain Barcelona, Lionel Messi dalam aksi Liga Juara-Juara minggu lalu. FOTO EPA

“Pasukan ini akan kekal bersama dan kami perlu melakukan segalanya untuk musim depan. Tiada siapa yang tewas pada liga perdana, ia telah dimenangi - dan ia telah dimenangi oleh pasukan menakjubkan yang berada pada standard sendiri. Kami memberi saingan kuat kepada mereka namun terpaksa akur akhirnya.

Kekecewaan selepas tewas dalam persaingan pemburuan trofi liga perdana kini tertumpu kepada pentas final dua tahun berturut-turut Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara.

Kelab itu mungkin dapat mengakhiri musim dalam moral yang tinggi dengan menewaskan Tottenham Hotspur pada aksi di Madrid pada 2 Jun ini seterusnya mencipta rekod juara piala Eropah enam kali.

“Kami berada dalam perlawanan akhir ini dan kami perlu mengambil peluang terbaik ini yang kami tidak manfaatkan pada musim lalu,” kata Robertson merujuk kepada kekalahan Liverpool kepada Real Madrid pada final Liga Juara-Juara musim lalu.

“Jika kami dapat melakukannya sudah tentu ia pencapaian besar musim ini. Kami sedar bertapa sukar perlawanan berdepan Tottenham nanti."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 5:47 PM