Hadin akan kembali beraksi semula pada perlawanan menentang Melaka. FOTO NSTP


FELDA United FC tiada pilihan kecuali meraih mata apabila berdepan Melaka di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam esok.

Pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, skuad bimbingannya perlu memperoleh sekurang-kurangnya satu mata bagi mencerahkan peluang untuk keluar dari zon penyingkiran.

"Kita sangat perlukan mata dan perlawanan malam esok pastinya amat sukar kerana skuad The Fighters beraksi di gelanggang lawan.

"Buat masa ini, kita berada di tangga ke-11 Liga Super dan saya harap kita boleh meraih tiga mata," katanya.

Mohd Nidzam turut meminta semua pemainnya kembali mempamerkan aksi pada prestasi sebenar masing-masing kerana saingan Liga Super akan memasuki pusingan kedua tidak lama lagi.

"Memasuki pusingan kedua saingan (Liga Super), kita tidak lagi boleh melakukan kesilapan dan terlepas sebarang mata.

"Semua pasukan lain pastinya akan berusaha memperbaiki kedudukan mereka.

Jadi pemain FELDA United juga perlu tampilkan aksi konsisten jika ingin terus berada dalam Liga Super musim depan," katanya.

Beliau berkata, kejayaan ke separuh akhir Piala FA perlu dijadikan pembakar semangat pemain untuk terus mengutip mata berharga dalam perlawanan seterusnya.

Katanya, kehadiran semula kapten pasukan, Hadin Azman yang sudah pulih dan bersedia diturunkan juga boleh dijadikan motivasi kepada rakan sepasukan lain.

"Kecederaan lutut kiri dialami Hadin sudah sembuh dan dia sudah bersedia untuk kembali beraksi.

Kita harap Hadin dapat membantu memperkuatkan bahagian tengah The Fighters dan mencipta peluang menjaringkan gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 3:53 PM