Tchetche kekal bersama TFC. FOTO NSTP
Malik Muhamad


PENYERANG Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche boleh tidur lena selepas khidmatnya terus ditagih skuad Penyu mengharungi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Perkhabaran gembira itu diberitahu pengendali skuad itu, Irfan Bakti Abu Salim selepas pemain terbabit kembali menemui sentuhan berbisa pada lima aksi terakhir termasuk saingan suku akhir Piala FA.

“Ya pemain itu (Tchetche) akan kekal bersama kami selepas kembali mempamer aksi sebenarnya termasuk berjaya menamatkan kemarau jaringan.

Ia perkembangan yang baik buat pasukan dan dirinya.

“Bagaimanapun, kami tuntut pemain itu meningkatkan lagi prestasinya terutama sebagai penjaring kerana dia adalah penyerang utama kita untuk menghasilkan gol dalam setiap perlawanan,” kata Irfan.

Sebelum ini, pemain Ivory Coast berusia 32 tahun itu hampir disingkir pada jendela kedua perpindahan pemain bermula 2 sehingga 29 Mei lalu.

Selepas kemarau jaringan awal musim hingga ke perlawanan kesembilan liga, dia akhirnya menjaringkan gol ketika bertemu Kelantan United pada aksi pusingan ketiga Piala FA.

Irfan menyatakan sudah ada bayangan pemain import lain untuk mengambil alih posisi Tchetche jika pemain itu masih buntu meledak gol.

Namun selepas jaringan pertama itu, anak bongsu daripada enam beradik itu berjaya meledak dua gol ketika menumpaskan FELDA United dalam saingan liga.

Selain itu, dia juga meledak satu gol bertemu Petaling Jaya City FC (PJ City) dan PKNP FC serta satu gol ketika bertemu Pahang pada aksi suku akhir pertama Piala FA dengan mengumpul enam gol setakat ini.

Bekas penyerang kelab Al-Suwaiq (Liga Oman) itu mula menyarung jersi TFC pada Jun 2017 menggantikan bekas penyerang Argentina, Federico Falcone.

Musim lalu, dia membantu pasukannya muncul naib juara Piala Malaysia dan muncul penjaring kedua terbanyak (14 gol) di belakang penyerang Selangor, Rufino Segovia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 4:24 PM