Farhan (kanan) mahu meneruskan momentum pada aksi menentang Selangor. FOTO NSTP
Izzali Ismail


PEMAIN sayap Kedah Farhan Roslan yakin momentum dimiliki skuad Kedah mampu memberi kelebihan buat skuad Lang Merah mencuri tiga mata pada aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium Shah Alam, esok.

Menurut Farhan, semangat kemenangan diraih dalam beberapa siri perlawanan Liga Super dan Piala FA sebelum ini menjadi pendorong mencatat keputusan terbaik selepas ini.

"Kebangkitan Kedah layak ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan PKNS FC minggu lalu menjadi suntikan motivasi untuk semua pemain dalam meneruskan misi mencari kemenangan seterusnya.

"Saya berharap semua pemain dapat mengekalkan rentak kemenangan dan fokus mengikuti semua perancangan yang dilakukan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak.

"Kedah perlu kekal konsisten di Stadium Shah Alam.

"Pemain berusia 22 tahun kelahiran Tandop, Alor Setar itu memasang impian mahu terus melonjak lebih tinggi bersama skuad Lang Merah tahun ini.

"Kepercayaan diberikan ketua jurulatih Aidil Sharin kepada saya dalam beberapa perlawanan musim ini telah memberi peluang untuk saya melonjakkan diri keperingkat yang lebih menyakinkan.

"Saya berazam tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan kepada saya dalam usaha memberi aksi terbaik pada setiap perlawanan musim ini dan seterusnya akan menjadi landasan tepat untuk saya teruskan 'pecutan' ke tahap prestasi terbaik.

"Farhan juga disenaraikan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) antara pemain melakukan tiga hantaran (assist) untuk gol pada perlawanan Liga Super dan satu hantaran untuk gol Piala FA.

"Apabila dapat melakukan hantaran untuk rakan sepasukan melakukan jaringan, itu menambahkan lagi tahap keyakinan dan motivasi saya untuk mencipta lebih banyak usaha kejayaan untuk pasukan.

"Jika musim lalu saya kerap berada dibangku simpanan selepas pulih kecederaan, musim ini menjadi landasan tepat untuk saya laksanakan azam serta kebangkitan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 5:19 PM