Flavio Beck Junior (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika perlawanan Liga Malaysia baru-baru ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

KELANTAN terus ditimpa masalah apabila pemain tengah import kelahiran Brazil, Flavio Beck Junior sah meninggalkan pasukan itu sejak beberapa hari lalu dengan menyertai Kelab Bhayangkara FC dalam saingan Liga 1 Indonesia.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan pihaknya sudah menamatkan kontrak pemain berkenaan dengan persetujuan bersama.

"Dia (Flavio) mendapat tawaran gaji di sana lebih baik daripada tawaran yang kami berikan kepadanya.

“Kami ucapkan terima kasih kepada Flavio atas khidmat walaupun tidak sampai semusim bersama pasukan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Flavio, pemain kedua pasukan Kelantan yang meninggalkan The Red Warriors (TRW) selepas pemain import dari Uruguay Raul Tarragona berbuat demikian Mac lalu dan Kelantan kini berharap kepada prestasi seorang lagi pemain import dari Afghanistan, Mustafa Zazai.

Sementara itu, Flavio melalui laman Instagram milikinya berkongsi kegembiraan bersama peminatnya kerana dapat kembali beraksi di Indonesia.

Flavio pernah beraksi bersama pasukan Borneo FC musim 2016/2017.

"Sangat gembira dapat kembali semula ke Indonesia dan kali ini menyertai Kelab Bhayangkara FC," katanya.

"Terima kasih bekas rakan sepasukan dalam pasukan Kelantan dan selamat berjaya dalam liga," katanya.

Untuk rekod, Flavio menyertai Kelantan selepas menyertai sesi pemilihan awal musim di bawah kendalian bekas Pengarah Teknikal Kelantan, Peter Jorg Steinebrunner.

Berikutan Kelantan mengalami krisis kewangan, Flavio membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan atas persetujuan bersama. Pemain kelahiran Brazil itu muncul penjaring terbanyak TRW musim ini dengan jaringan empat gol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 9:18 PM