Pemain Terengganu, Lee Tuck (depan) diasak pemain PJ City dalam aksi Liga Super. FOTO Ghazali Kori.
Malik Muhamad


TERENGGANU FC (TFC) perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal mengutip sebarang mata selepas tumpas 3-5 kepada PJ City FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Biarpun mendahului pelawat 3-0 pada babak pertama perlawanan, kebangkitan babak kedua skuad PJ City membuatkan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu 'menangis' di bumi sendiri.

Terengganu menghasilkan gol menerusi Kipre Tchetche pada minit ke-11, Nabil Ahmad Latpi tujuh minit kemudian dan rembatan Ashari Samsudin meletakkan skuad itu di depan dengan 3-0.

PJ City bangkit pada babak kedua bermula menerusi rembatan kencang Elizeu Batista pada minit ke-48.

Jaringan itu nyata membakar semangat pemain skuad The Pheonix untuk merapatkan kedudukan menerusi pemain import baharunya, Pedro Henrique pada minit ke-56 melalui kuisan mengelirukan hasil hantaran Zamri Ramli.

Selang seminit selepas itu, pintu gol yang dikawal Suffian Abd Rahman bocor lagi apabila seorang lagi pemain import baharunya, Washington Brandao bijak melakukan larian solo sebelum merembat kencang dalam kotak penalti sekali gus berjaya mengikat kedudukan 3-3.

Skuad PJ City yang tidak mengenal erti putus asa terus menghukum kerapuhan benteng tuan rumah melalui rembatan kencang Zamri pada minit ke-77 untuk mendahului 4-3.

Skuad pelawat terus menambah derita tuan rumah apabila berjaya meledak gol kelima menerusi tandukan Henrique pada minit ke-80 berpunca hantaran silang Brandao untuk menjadikan kedudukan 5-3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 12:24 AM