Pemain PKNS FC, Chan Vathnaka (kiri) mengasak pemain Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
Syazwan Msar


SKUAD The City Boy yang mengharapkan kemenangan bagi mengelak terus berada di zon penyingkiran boleh menarik nafas lega apabila berjaya menumpaskan PKNS FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Pelawat yang dibimbing Datuk K Rajagobal terlebih dahulu berada di depan seawal minit keempat menerusi tandukan pemain import Romel Morales.

Tersentak dengan jaringan itu, Kuala Lumpur mengatur serangan ke kubu lawan sebelum penyerang veteran Indera Putra Mahyuddin menyumbat gol penyamaan hasil lorongan Paulo Josue pada minit 27.

Sepak mula separuh masa kedua menyaksikan tuan rumah lebih banyak menguasai perlawanan dengan melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Hasilnya, pemain pertahanan Kuala Lumpur Azmi Muslim berjaya menyumbat gol kedua pada minit 56 untuk kedudukan 2-1.

Usaha PKNS untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian apabila gagal menyumbat gol penyamaan hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 12:39 AM