Aksi pemain ragbi negara dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini. FOTO Ihsan KRM.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@mediaprima.com.my


KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) kekal optimis keputusan positif mampu dijelmakan anak buah Bradley Moni Mika apabila bertemu Korea Selatan dalam saingan Kejohanan Ragbi Asia (ARC).

Presiden KRM Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, melihat latihan rapi skuad gabungan pemain baru dan lama menyakinkan beliau bahawa skuad negara tidak akan memberi laluan mudah kepada lawan.

"Kita sudah buat persiapan sangat baik. Jika tahun lalu kita berlatih untuk jangka panjang, hampir enam bulan hingga sukar dapatkan komitmen pemain yang bekerja atau belajar, tahun ini sebulan setengah saja.

"Persiapan pendek ini nampak lebih mantap kerana semua pemain dapat dikumpulkan dan memudahkan perancangan jurulatih. Insya-Allah kita tunggu hasilnya," katanya.

Skuad negara dijadual berlepas ke Incheon, Korea Selatan esok untuk perlawanan pertama menentang pasukan negara itu pada 18 Mei di Stadium Namdong Asiad.

Perlawanan seterusnya menentang Hong Kong pada 15 Jun di Kelab Bolasepak Hong Kong diikuti dua aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut Shahrul Zaman, beliau tidak memandang rendah Korea Selatan dan Hong Kong yang berada di ranking lebih tinggi berbanding Malaysia.

“Cuma kita nak beri persembahan terbaik, tahun lalu dapat saingi Korea masa bermain di Kuala Lumpur.

"Cuma Hong Kong ini lebih tinggi berbanding Korea Selatan dan hampir masuk Piala Dunia tahun ini. Jurang sangat besar, dari setahun ke setahun kita cuba rapatkan. "Insya-Allah harap ada satu magis pada tahun ini untuk kita dapat kalahkan sekurang-kurangnya Korea Selatan untuk berada di kedudukan kedua dan kekal di Liga Perdana Ragbi. Bukan mudah tapi saya yakin dengan persediaan dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 9:33 PM