Kevin Ramalingam. FOTO NSTP.
Syazwan Msar


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mahu membuktikan mereka bukannya ‘tunggul’ tanpa sebarang perancangan apabila badan pengurusan liga itu sebenarnya sudah mempunyai idea jangka panjang untuk tempoh 50 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam berkata, perancangan jangka panjang yang cukup strategik itu jelas menepis tanggapan bahawa pengurusan liga itu tidak merangka misi dan visi untuk pembangunan Liga Malaysia termasuk membabitkan pasukan yang bertanding.

Katanya, pelan strategik 50 tahun MFL akan menjadi satu pegangan yang kukuh kepada badan pentadbir liga tempatan itu.

“Hala tuju MFL akan dibukukan untuk kita merencana perancangan jangka masa panjang. Dan saya fikir TMJ (Tunku Mahkota Johor) Tunku Ismail mahu memastikan bahawa perancangan jangka panjang MFL diletakkan dengan jelas sebagai pegangan semua.

“Hal ini kerana kita tidak mahu jika berlakunya perubahan di peringkat pengurusan tertinggi, ia akan menimbulkan ketidakstabilan jika fokus tidak diberikan kepada hala tuju yang sudah ditetapkan.

“Perkara sama turut dilakukan oleh J League dengan perancangan 100 tahun sejak 1992 terus dikekalkan walaupun apa saja perubahan dan kesukaran yang timbul,” katanya. Kevin berkata, selepas pelancaran ‘Blueprint’ 50 Tahun MFL ditangguhkan bulan lalu, mereka kini sedang mencari masa sesuai untuk dilancarkan.

“Pelancaran Blueprint ini akan diadakan tidak lama lagi, mungkin selepas raya Aidilfitri apabila Ahli Lembaga Pengarah bersetuju dengan tarikh yang ditetapkan.

“Kita sudah bersedia dan kita akan ketengahkan perancangan untuk 50 tahun ini kerana visi TMJ untuk melakukan perkara ini bagi menjadikan MFL sebagai satu badan yang mampu bertahan untuk jangka masa panjang jadi visi ini perlu dikongsi oleh semua pihak,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan pengerusi badan pentadbir Liga Jepun (J League) Mitsuru Murai sebelum ini, Kevin berkata kenyataan rakan baik MFL itu disalah tafsir oleh sesetengah pihak.

“Sebenarnya Murai memberikan satu komen yang positif dan mengatakan bahawa beliau kagum MFL sanggup melakukan perancangan jangka panjang walaupun untuk tempoh 50 tahun berbanding J League 100 tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 11:23 PM