KAPTEN Ajax, Matthijs de Ligt (tengah) menjulang trofi kejuaraan di Doetinchem, awal pagi tadi. — FOTO EPA
Reuters

AJAX Amsterdam merangkul kejuaraan liga Eredivisie Belanda apabila menamatkan musim dengan kemenangan 4-1 di De Graafschap, awal pagi tadi.

Mereka menamatkan kempen tiga mata di depan PSV Eindhoven, yang menang 3-1 di laman sendiri ke atas Heracles Almelo pada hari terakhir liga.

Kejuaraan pertama Ajax sejak 2014 yang melakar rekod 34 kali secara keseluruhan melengkapkan trofi berganda selepas mereka menang Piala Belanda awal bulan ini.

Ajax bersaing sengit dengan PSV pada minggu-minggu terakhir, namun mempunyai kelebihan Ahad lalu apabila mereka mengalahkan Utrecht manakala juara bertahan PSV kalah.

DE Jong (tengah) mengatasi pemain De Graafschap, Bart Straalman pada hari terakhir Eredivisie Belanda. — FOTO AFP

Ia membolehkan Ajax mendahului tiga mata, termasuk kelebihan perbezaan jaringan 14 gol menjelang aksi terakhir awal pagi tadi.

Dusan Tadic meledak dua gol menentang De Graafschap ketika Ajax mengucapkan perpisahan kepada pemain tengah Frenkie de Jong, yang menyertai Barcelona dan kemungkinan beberapa pemain lain yang bertindak cemerlang membantu Ajax layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Ajax berakhir dengan 86 mata dan 119 gol dalam 34 perlawanan. PSV mengumpul 83 mata untuk menyertai mereka dalam Liga Juara-Juara musim depan.

Feyenoord menduduki tangga ketiga selepas menang 4-1 di Fortuna Sittard, perlawanan terakhir kendalian jurulatih mereka Giovanni van Bronckhorst.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 7:23 AM