IRFAN (dua kiri) melepaskan jawatan secara sukarela. — FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


DUA hari selepas skuadnya diaibkan PJ City, Irfan Bakti Abu Salim membuat keputusan mengejut meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) berkuat kuasa semalam.

Pengumuman mengenai peletakan jawatan itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil dalam satu kenyataan malam tadi.

Tengku Farouk berkata, pengurusan memberi mandat kepada penolong ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk memikul tugas itu buat sementara waktu.

Beliau berkata, Nafuzi akan mengisi jawatan itu hingga PBSNT menemui calon bersesuaian bagi meneruskan cabaran sembilan perlawanan Liga Super dan saingan Piala Malaysia.


PENYOKONG setia TFC berkumpul di luar stadium memprotes kekalahan memalukan di tangan PJ City. — FOTO BERNAMA

“Susulan TFC diberi satu tamparan hebat dengan kekalahan teruk pada perlawanan menentang PJ City dalam suasana TFC sudah memiliki kelebihan tiga gol pada separuh masa pertama dan akhirnya kalah 3-5, PBSNT mengadakan satu mesyuarat khas bagi menilai kelemahan.

“Mengakui keadaan semasa TFC tidak menentu dan konsisten, Irfan dalam mesyuarat khas hari ini memanjangkan permohonan peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih TFC serta-merta sebagai mengambil tanggungjawab atas kemerosotan prestasi pasukan.

“Pengurusan mengambil kira semua aspek dan bersetuju serta menghormati keputusan nekad dibuat Irfan atas prestasi buruk pasukan.

“Hasrat peletakan jawatan itu diluahkan dengan kerelaan hati beliau dan hal ini akan dimuktamadkan melalui cara dan prosedur yang betul,” katanya dalam kenyataan itu.


PEMAIN PJ City (jersi merah) ceria meraikan kejayaan mengejutkan TFC. — FOTO BERNAMA

Bercakap mengenai desakan penyokong meminta dilakukan rombakan pemain, beliau mengharapkan penyokong bertenang kerana adat pertandingan ada menang dan kalah.

“Kecederaan dan corak permainan pemain yang tidak mencapai tahap adalah antara faktor kekalahan pasukan, itu kami akui, namun harap peminat bersabar dan beri peluang kepada pemain dan pengurusan,” katanya yang mengakui tidak ada masalah dalaman pasukan termasuk pembayaran gaji.

Selasa lalu, susulan kekalahan kepada PJ City, lebih 200 peminat setia TFC berkumpul di luar pintu masuk utama Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sejurus tamat perlawanan sebagai tanda protes berikutan kekalahan memalukan di tangan pendatang baharu Liga Super itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 9:22 AM