FEDERER ketika berlatih di Foro Italico dua hari lalu. — FOTO EPA
AFP

PENAMPILAN semula Roger Federer pada Terbuka Itali tertangguh kerana hujan semalam ketika pegawai terpaksa membatalkan permainan selepas menanti lebih sembilan jam.

Federer kali terakhir beraksi di Foro Italico, Rome pada pusingan ketiga 2016, tewas kepada Dominic Thiem, namun dia terpaksa menunggu untuk memulakan kempennya menentang pemain Portugal, Joao Sousa kerana hujan dan suhu musim sejuk di ibu negara Itali itu.

Bagaimanapun, kejohanan gelanggang tanah liat ATP-WTA itu akan bermula pada jam 10 pagi hari ini (4 petang waktu Malaysia) selepas hari mengecewakan menyaksikan permulaan permainan ditangguh hingga permainan ditangguh secara rasmi pada jam 8 mlm (2 pagi).

Cuaca buruk itu juga bermakna juara di Madrid minggu lalu, Novak Djokovic dan juara bertahan Rome, Rafael Nadal turut terjejas dengan jadual padat.


GELANGGANG utama Foro Italico ditutup dengan kanvas kerana hujan lebat semalam. — FOTO AFP

Federer, naib juara empat kali di Rome, kembali ke Itali selepas tidak bertanding pada musim gelanggang tanah liat bagi dua tahun terakhir ketika dia menumpukan terhadap gelanggang rumput.

Pemain Switzerland itu awalnya dijadualkan menentang Sousa pada jam 11 pagi semalam namun dia berada dalam kalangan berdozen pemain menunggu di bilik lokar dan bilik rehat ketika penganjur menyebabkan kemarahan penyokong dengan polisi “wang tidak dikembalikan” selepas menggandakan harga tiket untuk mengaut keuntungan susulan kehadiran semula Federer.

Mereka kemudian memberitahu pemegang tiket untuk kembali dengan percuma hari ini, sebelum memulangkan semula wang kepada yang tidak dapat hadir.

Apabila diberitahu mengenai keputusan itu kelmarin ketika sidang media, Federer kelihatan tidak berminat.

“Saya dengar sesetengah peminat jelas tidak gembira mengenainya. Ia jelas sesuatu yang tidak enak didengar,” ujar juara Grand Slam 20 kali itu.

“Saya hanya berharap ia tidak menjejaskan hakikat saya benar-benar gembira untuk berada di sini.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 12:36 PM