Mohd Badhri Mohd Radzi sudah menghantar surat untuk menamatkan kontraknya bersama Kelantan. FOTO NSTP.
BERNAMA

PEMAIN berpengalaman Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi sudah menghantar surat untuk menamatkan kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) selepas didakwa tidak menerima gaji selama hampir dua bulan dari majikannya itu.

Mohd Badhri atau dikenali Piya berkata surat berkenaan dihantar semalam, yang berpandukan kepada Klausa 8.7 yang terdapat dalam kontrak pemain bola sepak.

"Klausa berkenaan jelas menyatakan kontrak pemain boleh ditamatkan tanpa apa-apa (sama ada pembayaran pampasan atau pengenaan sekatan kesukanan) jika pemain tidak menerima gajinya lebih daripada satu kali.

"Sejak menyertai TRW 16 Mac lalu, saya belum pernah menerima gaji sebagai pemain bola sepak dari KAFA," katanya hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan pemain itu memutuskan untuk meninggalkan pasukan biarpun baharu sebulan kembali bersama bagi musim 2019.

Bekas ketua pasukan Kelantan itu berkata mengikut perkiraan sudah dua bulan beliau tidak menerima gaji iaitu bagi bulan Mac dan April.

"Ia jelas melanggar kontrak pemain bola sepak sebagaimana yang termaktub dalam Klausa 8.7, dan saya mahu menamatkan kontrak dengan Kelantan dan berharap KAFA dapat mengeluarkan Sijil Perpindahan Pemain (SPN) nanti.

"Kerjasama itu amat diharapkan bagi membolehkan dia terus mencari rezeki bagi menyara keluarga dengan menyertai mana-mana pasukan lain," katanya.

Piya berharap KAFA dapat menjelaskan tunggakan gaji selama dua bulan untuk tahun 2019 ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 5:10 PM