Tan Cheng Hoe rangka persediaan skuad negara. FOTO NSTP.
Firdaus Hashim


HANYA 14 pemain yang beraksi pada Piala Airmarine 2019 dikekalkan daripada senarai 26 pemain dipanggil ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 27 Mei ini.

Pada aksi Piala Airmarine lalu skuad kebangsaan tewas 1-0 kepada Singapura pada aksi pertama, sebelum bangkit menewaskan Afghanistan 2-1 untuk meraih tempat ketiga kejohanan antarabangsa empat negara yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu.

Skuad Harimau Malaya dijangka menyertai perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 2 Jun diikuti perlawanan timbal balik Pusingan 1 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor-Leste di stadium sama pada 7 dan 11 Jun ini.

Turut tersenarai enam tonggak skuad bawah 23 (B-23) tahun negara antaranya Safawi Rasid, Akhyar Rasid, Syamer Kutty Abba, Dominic Tan, Syahmi Safari dan Faisal Abdul Halim.

Mereka sebelum ini terpaksa diketepikan ekoran terikat dengan komitmen bersama skuad B-23 kendalian Datuk Ong Kim Swee yang beraksi di kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di ibu negara pada penghujung Mac lalu.


Mattiew Davies (tengah) pada sesi latihan skuad Harimau Malaya baru-baru ini. FOTO NSTP.

"Saya rasa enam pemain ini menjadi tonggak utama pasukan pada Piala AFF Disember lalu kecuali Dominic dan Faizal. Malah, saya lihat peningkatan prestasi ditunjukkan mereka dalam B-23 cukup baik.

“Ini tentunya untuk masa depan pasukan kebangsaan kerana mereka masih muda lagi dan akan menjadi nadi utama pasukan di masa depan," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Selain enam ubi muda itu, beliau turut memanggil buat kali kedua pemain berdarah campuran, La’Vere Corbin-Ong dari Johor Darul Ta'zim (JDT) yang pernah menyertai kem latihan pada Mac tahun lalu namun tidak beraksi pada aksi persahabatan menentang Mongolia ekoran masalah kesihatan.

Daripada senarai itu 11 pemain digugurkan Cheng Hoe termasuk ketua pasukan, Zaquan Adha Abd Radzak (Kedah) dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United).

Sebagai pengganti bagi melengkapkan senarai 26 pemain kali ini, bekas pengendali Kedah itu menyenaraikan penjaga gol Farizal Marlias, Adam Nor Azlin dan Syafiq Ahmad dari JDT selain penyerang Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi dan tonggak pertahanan PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie.

Jika berjaya mengatasi Timor Leste, skuad Harimau Malaya akan layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membabitkan 40 pasukan terbaik Asia yang akan dibahagikan kepada lapan kumpulan bermula dari 5 September ini hingga 9 Jun 2020.

Senarai 26 pemain :

Penjaga gol ; Mohd Farizal Marlias (JDT), Hafizul Hakim Nizam Jothy (Perak), Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah)

Pertahanan ; Adam Nor Azlin, Dominic Tan, La’Vere Corbin-Ong, Syazwan Andik (JDT), Matthew Davies (Pahang), Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Shahrul Mohd Saad (Perak), Rodney Celvin Akwensivie (PKNS), Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur)

Tengah dan Sayap ; Syamer Kutty Abba, Safawi Rasid, Akhyar Rashid (JDT), Mohamadou Sumareh, Nor Azam Azih (Pahang), Syazwan Zainon, Faiz Nasir, Abdul Halim Saari (Selangor), Kenny Pallraj Davaragi (Perak), Akram Mahinan (PKNS),

Penyerang ; Norshahrul Idlan Talaha, Mohamad Faisal Abdul Halim (Pahang), Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak) Muhammad Syafiq Ahmad (JDT)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 6:56 PM