SKRINIAR (kiri) mengekang asakan pemain Eintracht Frankfurt, Danny Da Costa pada aksi Liga Europa. — FOTO Agensi
AFP

PEMAIN kebangsaan Slovakia, Milan Skriniar menamatkan spekulasi mengenai masa depannya apabila mengesahkan dia menandatangani kontrak baharu dengan Inter Milan yang menyaksikannya kekal di kelab itu hingga 2023.

Skriniar, 24, dikaitkan dengan perpindahan ke kelab utama Eropah termasuk Manchester City, Barcelona dan Real Madrid.

“Ia satu pencapaian hebat buat saya, bangga kerana saya akan menyarung jersi ini pada masa depan,” kata pertahanan tengah yang beraksi 23 kali dengan Slovakia itu.

“Musim ini belum tamat lagi dan kami perlu mencapai objektif,” ujarnya.

Inter berada di landasan terbaik bagi satu lagi musim Liga Juara-Juara ketika mereka menghuni tangga ketiga Serie A dengan baki dua perlawanan termasuk kunjungan ke kelab tangga kedua Napoli, Ahad ini.

Skriniar menjaringkan empat gol dalam 84 perlawanan sejak menyertai kelab San Siro itu dari pencabar liga Sampdoria pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 8:04 AM