NAOMI teruja jadi pilihan utama Terbuka Perancis. — FOTO Reuters
AFP

BINTANG Jepun, Naomi Osaka menang dua kali semalam untuk layak ke suku akhir Terbuka Itali, mengekalkan ranking nombor satu dunia menjelang Terbuka Perancis minggu depan.

Dia mara dengan mudah ke suku akhir di Rome dengan kemenangan 6-3, 6-3 ke atas Mihaela Buzarnescu.

Naomi mengalahkan pemain ranking ke-28 dari Romania itu dalam tempoh 78 minit selepas menundukkan pemain Slovakia, Dominika Cibulkova dengan catatan sama dalam masa satu jam 42 minit pada pusingan kedua, ketika pemain terpaksa beraksi dua kali susulan hujan hari sebelumnya.

Terdahulu, pemain berusia 21 tahun itu perlu layak ke suku akhir bagi memastikan pemain Romania, Simona Halep tidak merampas ranking nombor satu dan pilihan utama Terbuka Perancis.

Namun Naomi mengekalkan kedudukannya apabila juara bertahan Roland Garros, Simona tumbang di tangan pemain Republik Czech, Marketa Vondrousova 6-2, 5-7, 3-6 pada pusingan kedua.

“Saya perlu memikirkan untuk memenangi kejohanan. Itulah yang bermain di fikiran saya mengenai kejohanan ini,” kata Naomi.

“Sudah tentu, ia melegakan (menjadi pilihan utama di Roland Garros) kerana ia jelas sasaran utama saya.”

Naomi akan berdepan juara Terbuka Madrid dan pilihan keenam Kiki Bertens dari Belanda bagi memburu tiket ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 12:47 PM