Jae Hyung akan bawa pemanah ke Terengganu. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


SKUAD memanah lelaki dan wanita negara kini mempunyai misi memburu tempat ke temasya Olimpik Tokyo 20202 apabila turun beraksi di Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda dari 10 hingga 16 Jun.

Tiada istilah raya buat kesemua 12 pemanah membabitkan enam lelaki dan enam wanita yang akan beraksi dalam acara recurve dan compound berpasukan apabila mereka dijadualkan bertolak ke Belanda pada hari kedua Aidilfitri.

Justeru bagi merealisasikan misi itu ketua jurulatih, Lee Jae Hyung akan membawa barisan anak didiknya berkampung di Terengganu selama 10 hari bagi menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran berangin.

"Menurut maklumat yang diterima cuaca di Hertogenbosch sejuk dengan suhu sekitar lima hingga 18 selsius dan berangin.

"Atlet tidak perlu berlepas ke sana lebih awal tapi perlu menyesuaikan diri beraksi dalam keadaan berangin.

Jadi padang latihan di UNiZA (Universiti Sultan Zainal Abidin) yang terletak di tepi laut menjadi pilihan buat atlet menyesuaikan diri," katanya bertolak ke Terengganu, hari ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) Datuk Abdul Hamid Hasan, memaklumkan hanya acara recurve menawarkan slot ke temasya terbesar dunia itu.

Di atas kertas tiada masalah buat trio lelaki menamatkan cabaran di kelompok lapan terbaik seterusnya layak ke Olimpik secara merit namun cabaran getir terpaksa ditempuhi pasukan wanita.

"Pasukan lelaki sudah empat kali layak ke Olimpik dan kali ini NAAM mahu memastikan trio wanita mengikuti jejak langkah pasukan lelaki.

"Jika trio kita layak secara automatik mereka akan layak beraksi dalam acara individu di Tokyo nanti, jadi peluang kita cerah di situ," katanya.

Abdul Hamid ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) semalam berkata, sekiranya gagal skuad negara masih lagi mempunyai dua peluang merebut tempat secara merit ke Tokyo.

Ia membabitkan Kejohanan Memanah Asia yang akan berlangsung November ini selain Piala Dunia tahun depan.

Trio lelaki negara konsisten mara ke pentas Olimpik sejak edisi 2008 apabila layak dalam acara berpasukan manakala bagi wanita, Malaysia dua kali layak dalam acara individu menerusi Mon Redee Sut Txi (2004 ) dan Nurul Syafiqah Hashim pada 2002.

Cabaran kategori lelaki akan digalas Khairul Anuar Mohamad, Muhammad Akmal Nor Hasrin serta muka baru Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli manakala Nur Afisa akan mengetuai cabaran wanita selain Nur Aliya Ghapar dan Loke Shin Hui.

Barisan pemanah compound turut bersaing iaitu Mohd Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Syahrizan Ja'afar selain Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Iman Aisyah Norazam dan Nurul Syazhera Mohd Asmi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 3:11 PM