NAFUZI (gambar kecil) diberi tugas besar memulihkan TFC. FOTO arkib NSTP
Malik Muhamad


HARAP ada keajaiban. Itu doa daripada Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH) terhadap pasukan kesayangan mereka, Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super yang berbaki sembilan perlawanan lagi.

Selain itu PETEH mengharapkan sentuhan ajaib pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang juga bekas ‘pemain emas’ skuad itu menjulang Piala Malaysia 2001 mampu mengangkat kembali maruah TFC yang tercalar.

“Biarpun terlalu awal untuk memperkatakan kebangkitan apatah lagi Nafuzi baharu dilantik mengetuai barisan kejurulatihan, tapi sentuhannya bersama dua lagi penolong jurulatih, Mohamad Nik dan Kamaruddin Anuar ditagih terutama pertemuan dengan FELDA United malam esok,” kata Presiden PETEH, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris.

Selain itu, Najmil Faiz mengharapkan jurulatih muda itu mampu mengembalikan semula keyakinan dan sokongan padu peminat setia yang kini berduka selepas aksi hambar pasukan kesayangannya itu.

“Buat pemain, teruskan perjuangan dan biarpun tanpa Irfan Bakti Abu Salim, pemain perlu buktikan kemampuan masing-masing serta perlu mengambil ikhtibar kekalahan lalu akibat permainan tidak konsisten.

“Ingat, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, ayuh pemain tebus semula kesilapan lalu, jangan putus asa sebaliknya perlu kembali semula ke landasan tepat untuk mencapai kejayaan sebagai mana musim lalu sekali gus mengembalikan semula sokongan peminat,” katanya.

Kelmarin, Nafuzi dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih susulan peletakan jawatan mengejut Irfan Bakti Abu Salim sebagai ketua jurulatih selepas skuadnya gagal mempamerkan aksi konsisten terutama pada dua perlawanan terakhir ketika bertemu Petaling Jaya City FC dan Pahang.

Bercakap mengenai tindakan drastik Irfan meletak jawatan, Najmil Faiz menghormati keputusan yang diambil pengendali itu yang dilihat seorang yang bertanggungjawab atas kemerosotan prestasi pasukan bimbingannya.

“Kita hormati keputusan Irfan, itu hak dia, namun dalam masa sama mengharapkan skuad Penyu tidak terus merudum dan layu, sebaliknya perlu tampil lebih agresif dalam setiap perlawanan yang diharungi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 6:14 PM