ZLATAN Ibrahimovic. FOTO Agensi.
ZLATAN Ibrahimovic. FOTO Agensi.
AFP

ZLATAN Ibrahimovic digantung dua perlawanan selepas didakwa mencekik leher penjaga gol New York City FC, Sean Johnson ketika kekalahan Los Angeles Galaxy, minggu lalu.

Jawatankuasa Disiplin MLS mengumumkan dalam satu kenyataan mendakwa Ibrahimovic berkelakuan ganas ketika kejadian yang berlaku pada minit ke-86 perlawanan 11 Mei lalu.

Ibrahimovic dan Johnson kedua-dua rebah di atas padang selepas dilihat bergelut antara satu sama lain.

Kedua-dua pemain dilayangkan kad kuning berikutan kejadian itu. Johnson kemudian mendakwa Ibrahimovic tidak dapat mengawal kelakuannya.

"Zlatan (Ibrahimovic) adalah pemain berbakat, dia jelas sekali tahu apa yang dilakukannya, dia seorang yang bijak dan anda tahu, ia adalah sebahagian daripada permainan,” kata Johnson.

“Saya juga akan kecewa jika saya sebagai dia, kamu tahu. Tidak boleh salahkan dia kerana kekecewaan ketika beraksi pada perlawanan itu,” tambah penjaga gol itu.

Ia adalah kejadian kedua membabitkan kelakuan Ibrahimovic sejak minggu lalu.

Dia didenda dengan jumlah yang tidak diumumkan pada 10 Mei selepas didapati bersalah kerana dengan sengaja menjatuhkan badan ketika kekalahan pasukannya kepada Columbus Crew.

Ibrahimovic juga didakwa terbabit dalam percakaran mulut di atas padang dengan pemain pasukan Real Salt Lake, Nedum Onuoha bulan lalu.

Onuoha kemudian mendakwa Ibrahimovic membuat ugutan akan mencederakannya namun pemain berkenaan kemudian memohon maaf selepas perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 8:00 AM