PEMAIN PKNP FC,Mohamad Al-Fateh Mohd Afendi (kiri) cuba melepasi halangan pemain Selangor,K Prabakaran pada saingan Liga Super, di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Shamsul Kamal Amarudin


SELANGOR dan PKNP FC berkongsi mata selepas seri dengan jaringan 1-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini malam tadi.

Jaringan pasukan pelawat diperolehi pada minit ke-29 apabila Ifedayo Olusegun mudah menolak masuk hantaran lintang Sandro da Silva dari sebelah kiri.

Pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan selepas dua minit babak kedua bermula, menerusi rembatan G Mugenthiran di penjuru kiri gawang lawan selepas menerima lorongan Yashir Pinto.

Terdahulu, Selangor berpeluang memperolehi gol awal tetapi tandukan Taylor Regan pada minit ke-16 ditepis Ahmad Asyraaf Omar.

Mohamad Fazrul Hazli pula berpeluang menyamakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-43 tetapi rembatannya dalam kotak penalti tersasar walaupun tidak dicabar pertahanan lawan.

Pasukan pelawat berpeluang menambah jaringan pada minit ke-63 tetapi tandukan Mohd Syazwan Zainon tidak menemui sasaran walaupun Ahmad Asyraaf Omar sudah tertewas.

Separuh masa kedua menyaksikan Selangor melakukan asakan bertali arus ke arah kubu lawan namun tidak banyak peluang menjaringkan gol berjaya dicipta.

Pasukan tuan rumah pula menunggu peluang melakukan serangan balas, namun tetap tidak berhasil menambah jaringan, bagi memastikan kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 12:19 AM