Dua jurulatih sedia ganti Irfan yang meletak jawatan. FOTO NSTP
Malik Muhamad


DUA pengendali dikategorikan sebagai jurulatih 'otai' menyatakan minat mengisi 'kerusi panas' ketua jurulatih skuad Terengganu FC (TFC) selepas bekas pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim meletak jawatan.

"Jika diberi peluang oleh Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) membimbing skuad TFC saya akan cuba lakukan yang terbaik buat pasukan itu.

"Lagipun kita kena perjuangkan anak tempatan sebagai jurulatih," kata jurulatih itu yang enggan namanya didedahkan.

Jurulatih yang mempunyai rekod cemerlang membimbing beberapa pasukan sebelum ini selain mempunyai pertalian darah dengan orang Terengganu akan membuat permohonan rasmi kepada PBSNT berhubung perkara itu.

"Saya suka cabaran baharu, oleh itu saya akan buat permohonan kepada PBSNT, jika ada rezeki, saya minat melatih skuad TFC ini," kata jurulatih berusia 50-an itu.

Seorang lagi jurulatih yang juga tidak mahu mendedahkan namanya juga menyatakan kesediaan untuk mengisi 'kerusi panas' itu jika diberi peluang oleh PBSNT.

"Bukan gaji lumayan yang saya minta, tapi peluang dan ruang bagi menunjukkan komited dan ikhlas kepada pasukan," katanya pernah menabur khidmat sebagai pemain skuad Terengganu.

Rabu lalu, Irfan membuat keputusan mengejut apabila melepaskan jawatannya daripada mengendali skuad Penyu itu selepas bertanggungjawab atas kemerosotan prestasi pasukan dibelasah pendatang baharu Liga Super, Petaling Jaya City FC (PJ City) 5-3.

Terengganu juga tumpas agregat 5-2 kepada Pahang pada suku akhir Piala FA.

Berikutan itu, PBSNT mengambil keputusan melantik penolong jurulatih, Nafuzi Zain sebagai pemangku ketua jurulatih dibantu pengendali berpengalaman, Mohamad Nik dan Kamaruddin Anuar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 4:38 PM