WEE Wern jangka tentangan sengit daripada Fiona.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

PEMAIN skuasy wanita negara, Low Wee Wern menjangkakan tentangan sengit bakal diberikan wakil tuan rumah, Fiona Moverley menjelang pusingan pertama Terbuka British esok.

Menurut Wee Wern, walaupun pernah menumbangkan pemain England itu di pusingan kelayakan Terbuka China 2016 namun ketika itu aksi berlangsung sengit dengan dia hanya mencatat kemenangan tipis 11-13, 11-7, 6-11, 11-5, 11-8.

"Sudah pasti satu lagi persaingan sengit bakal berlangsung di pusingan pertama Terbuka British antara saya dan Fiona. Lagi pun ini adalah gelanggangnya dan ranking dia juga lebih baik dari saya," kata Wee wern ketika dihubungi Arena Metro hari ini.


IVAN (depan) bakal berdepan cabaran pemain Scotland, Greg Lobban.

Ujar pemain kelahiran Pulau Pinang itu, segala persiapannya berjalan lancar walaupun dalam tempoh singkat selepas beraksi di Kejohanan Asia Individu di Bukit Jalil, baru-baru ini. "Bagaimanapun, ini kejohanan terakhir untuk musim ini sebelum saya kembali berlatih dan mempersiapkan diri bagi musim baru," katanya.

Berdasarkan ranking terkini, Wee Wern sekarang berada di kedudukan ke-28 manakala Fiona di tempat ke-33.

Turut beraksi di Terbuka British ialah Datuk Nicol David yang akan menentang Ho Tze Lok dari Hong Kong.

Bagi saingan lelaki pula, Ivan Yuen bakal berdepan Greg Lobban dari Scotland dan Ng Eain Yow akan menentang Patrick Rooney dari England.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 5:34 PM