MARQUEZ bersama trofi kejuaraan GP Perancis. - FOTO AFP
AFP

PENYANDANG juara, Marc Marquez dari pasukan Honda muncul juara Grand Prix (GP) Perancis di Le Mans selepas mengetepikan dua pelumba Itali yang menunggang jentera Ducati, Andrea Dovizioso dan Danilo Petrucci, sebentar tadi.

Bermula dari petak utama, Marquez meraih kejuaraan selepas hampir dua saat meninggalkan Dovizioso.

Pelumba kelahiran Sepanyol berusia 26 tahun itu kini mengumpul 95 mata keseluruhan manakala Dovizioso di kedudukan kedua dengan 87 mata dan Alex Rins dari Team SUZUKI ECSTAR di tempat ketiga (75).

Kejayaan Marquez itu adalah kemenangan ke-300 dalam kelas perdana buat pasukan Honda dan 53 tahun selepas Jim Redman meraih kejuaraan sulung di Hockenheim.

Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin (Red Bull KTM Tech 3) berjaya meraih dua mata apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-14.


GAYA McPhee (kiri) meraikan kejayaan muncul juara Moto3 di Le Mans. - FOTO Reuters

Sementara itu, adik Marquez, Alex mengungguli saingan Moto2, apabila muncul juara dengan melintasi garisan penamat dengan catatan masa 40'36.428s.

Tempat kedua milik Jorger Navarro dari Lightech Speed Up manakala Augusto Fernandez (FLEXBOX HP 40) melengkapkan penguasaan podium pelumba Sepanyol apabila menduduki tempat ketiga.

Dalam saingan Moto3, pelumba Petronas Sprinta Racing, John McPhee muncul juara dengan mengetepikan Lorenzo Dalla Porta dari Leopard Racing di tempat kedua. Aron Canet dari pasukan Sterilgarda Max Racing Team menduduki tempat ketiga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 9:58 PM