KAROLINA mencium trofi Terbuka Itali selepas menewaskan Johanna di Rome. - FOTO AFP
AFP

PEMAIN pilihan keempat dari Republik Czech, Karolina Pliskova menewaskan pemain Britain, Johanna Konta 6-3, 6-4 untuk muncul juara Terbuka WTA Itali, hari ini.

Karolina yang mara ke separuh akhir Terbuka Perancis 2017 meraih gelaran ke-13nya yang dianggap pemanas badan terbaik di atas tanah liat menjelang Roland Garros bermula 26 Mei ini.

‘Break’ pada setiap set sudah cukup buat bekas pemain nombor satu dunia itu mengatasi Johanna dengan mengesahkan kemenangan pada mata akhir ketiga selepas 85 minit berentap di atas gelanggang.

"Minggu yang hebat buat saya dan pasukan,” kata pemain berusia 27 tahun itu yang kini mendapat bimbingan bekas juara Rome, Conchita Martinez.

"Terdapat beberapa perlawanan yang sengit dan saya gembira dapat melepasinya. Saya agak gemuruh hari ini mungkin kerana final pertama saya di Rome, jadi sudah boleh dijangkakan.”

Dia tidak pernah melepasi peringkat separuh akhir dalam empat percubaan sebelum ini di Rome.

Kejuaraan itu yang terbesar buat pemain Czech yang menduduki ranking ketujuh dunia sejak Cincinnati pada 2016.

Dia menjadi pemain Czech pertama muncul juara di Rome sejak Regina Marsikova menjuarainya pada 1978.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 10:20 PM