BEREGU negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (kanan) bekerja keras ketika menentang pasangan China di Nanning. - FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi

SKUAD badminton negara tidak ada pilihan lain menjelang pertemuan dengan India Selasa ini, iaitu wajib menang jika berhasrat layak ke suku akhir Piala Sudirman.

Dalam aksi sulung Kumpulan 1D hari ini Malaysia jelas tidak berdaya bersaing dengan tuan rumah, China apabila tumpas 0-5 di Pusat Sukan Guangxi, Nanning.

Bagaimanapun, gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya memberikan tentangan sengit kepada pasangan nombor tiga dunia, Li Junhui-Liu Yuchen sebelum tumpas 21-18, 14-21, 22-24.

Harapan untuk melihat perseorangan wanita, Soniia Cheah mengikat kedudukan tidak kesampaian apabila China mendahului 2-0 hasil kemenangan Chen Yufei 21-15, 21-23, 14-21.

AKSI Soniia ketika menentang Chen Yufei. - FOTO AFP

Tuan rumah mengesahkan kemenangan mereka apabila perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia gagal memberikan tentangan sengit ketika menentang pemain nombor dua dunia, Shi Yuqi selepas tumpas straight set 12-21, 11-21.

Apa yang diperkatakan Zii Jia sebelum ini ternyata ada kebenaran apabila dia lebih selesa bertarung dengan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long selepas pemain berkenaan beraksi kurang konsisten sejak awal musim.

Pasangan beregu wanita negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen pula tumpas kepada gandingan ranking kelapan dunia, Du Yue-Li Yunhui 18-21, 14-21.

Aksi terakhir menyaksikan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tumpas 16-21, 12-21 kepada pasangan nombor satu dunia, Huang Yaqiong-Zheng Siwei.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak meletakkan sebarang sasaran di kejohanan ini dan ia lebih kepada memberi pendedahan kepada pemain muda seperti Lee Zii Jia, Cheam June Wei (perseorangan lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki).

Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei pula masih belum mendapat lampu hijau untuk turun beraksi dalam mana-mana kejohanan antarabangsa, menyaksikan skuad kali ini diketuai pemain beregu campuran, Goh Soon Huat.

Dua tahun lalu di Gold Coast, skuad badminton negara berjaya mara ke suku akhir sebelum tumpas kepada Jepun 1-3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 11:07 PM