MESSI (kiri) mengatasi Dmitrovic dalam aksi La Liga di Eibar, awal pagi tadi. — FOTO AFP
Reuters

KAPTEN Barcelona dan penjaring gol terbanyak La Liga Sepanyol, Lionel Messi menamatkan musim menakjubkan dengan meledak dua gol ketika seri 2-2 di laman lawan menentang Eibar pada perlawanan terakhir pasukan juara itu awal pagi tadi, sekali gus mengumpul 36 gol liga.

Eibar mendahului pada minit ke-20 menerusi jaringan pemain tengah pinjaman dari Barca, Marc Cucurella yang melepasi celah kelangkang penjaga gol Jasper Cillessen namun Messi menyamakan kedudukan pada minit ke-31 selepas meluru ke dalam kotak penalti untuk menyambut hantaran Arturo Vidal.

Messi menyumbat gol sekali lagi seminit kemudian, menyelinap di bahagian tengah tanpa dicabar untuk menerima hantaran Ivan Rakitic sebelum tenang melambungkan bola melepasi jangkauan penjaga gol Marko Dmitrovic.

Namun pemain Eibar, Pablo de Blasis menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat dengan jaringan menakjubkan dari jarak jauh mengatasi Cillessen, yang kelihatan tidak meyakinkan menjelang final Piala Raja Sepanyol menentang Valencia minggu ini.


PENYERANG Eibar, Charles (kiri) bersaing dengan pertahanan Barca, Jordi Alba (kanan) di Stadium Ipurua. — FOTO EPA

“Apabila anda tidak memburu apa-apa lagi, anda sering kurang berminat dalam satu-satu perlawanan, akhirnya kami seri tapi saya fikir kami menamatkan musim dengan bagus,” kata jurulatih Barca, Errnesto Valverde.

“Kami sudah menjadi juara beberapa kali, kini kami amat konsisten sepanjang kempen. Kami berdepan beberapa kesukaran pada awal musim, tapi kami berjaya menanganinya.”

Penyerang Argentina itu menamatkan kempen sebagai penjaring gol terbanyak La Liga buat tahun ketiga berturut-turut, pemain pertama melakukannya sejak Hugo Sanchez dari Real Madrid pada 1987.

Dia turut menyertai bekas penyerang Athletic Bilbao, Telmo Zarra sebagai satu-satunya pemain dalam sejarah liga itu muncul penjaring terbanyak enam kali.


JURULATIH Barcelona, Valverde. — FOTO Reuters

Messi meledak 15 gol lebih berbanding pencabar terdekatnya, rakan sepasukan Barca, Luis Suarez dan penyerang Real Madrid, Karim Benzema, kedua-duanya menjaringkan 21 gol.

Barca, yang memastikan kejuaraan kelapan dalam 11 musim dengan baki tiga perlawanan, menamatkan kempen dengan 87 mata, 11 mata berbanding naib juara Atletico Madrid dan 19 di depan pasukan tangga ketiga Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 9:20 AM