MANDZUKIC (kanan) menyelamatkan maruah Juventus dengan gol penyamaan 10 minit sebelum tamat. — FOTO AFP
Reuters

ATALANTA melonjak ke tangga ketiga Serie A dan semakin hampir ke Liga Juara-Juara selepas seri 1-1 di Juventus awal pagi tadi, perlawanan terakhir Massimiliano Allegri di laman sendiri buat pasukan juara itu.

Josip Ilicic menggunakan kesempatan susulan kesilapan benteng pertahanan untuk menampan masuk gol pembukaan pelawat pada minit ke-33 namun penyerang Juve, Mario Mandzukic menyamakan kedudukan 10 minit sebelum tamat.

Keputusan itu melonjakkan pasukan dari Bergamo ke tangga ketiga, terikat 66 mata dengan Inter Milan namun unggul di depan menerusi rekod pertembungan.

Anak buah Gian Piero Gasperini pasti berakhir dalam kelompok empat teratas jika mereka menewaskan Sassuolo pada perlawanan terakhir liga hujung minggu ini.


ILICIC (kanan) membantu Atalanta mendahului 1-0 pada babak pertama di Turin. — FOTO EPA

“Ia satu keputusan positif,” kata Gasperini kepada Sky Italia.

“Kini kami perlu sampai ke garisan penamat, banyak kerja sudah dilakukan dan kini kami mesti mengalahkan Sassuolo. Kami masih perlu berhabis-habisan.”

Juventus, yang merangkul kejuaraan Serie A kelapan berturut-turut hampir sebulan lalu, mengumumkan minggu ini Allegri akan meninggalkan kelab itu hujung musim ini.

Persembahan Juve merudum secara dramatik sejak mereka memastikan kejuaraan dan kini tidak menang empat aksi liga berturut-turut buat kali pertama sejak 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 11:42 AM