Laporan HM Digital semalam. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


MAJLIS Sukan Negara (MSN) mengakui sukar buat Khairul Hafiz Jantan mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dua tahun lalu di temasya Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini dengan kehadiran pelari Indonesia Lalu Muhammad Zohri.

Lalu yang merekodkan 10.03 saat di Seiko Golden Grand Prix 2019 di Osaka, Jepun semalam mengegarkan arena olahraga apabila menjadi pelari Asia Tenggara pertama yang merekodkan catatan di bawah 10.10s.

Menurut laporan CNNIndonesia.com, catatan 10.03s turut melayakkan Lalu menempah tiket ke Olimpik Tokyo.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin bagaimanapun menegaskan bahawa MSN sedia membantu atlet kelahiran Melaka itu mempertingkatkan prestasinya.

"Kami akan bincang segala keperluan dia pada mesyuarat jawatankuasa kerja (JKK) pada 27 Mei ini dan lihat keperluan jurulatihnya sama ada mahu menghantar Khairul Hafiz keluar negara atau menyertai mana-mana pertandingan.

"MSN juga akan mendapatkan secara terperinci maklumat berhubung program untuk menaikkan berat badannya bersama ISN (Institut Sukan Negara) dan juga tahap kecederaan Khairul sekarang ini," katanya.

Tegas Jefri, MSN akan sentiasa memberikan sokongan kepada pemenang rekod kebangsaan acara 100m itu namun apa yang peting adalah untuk Khairul terus fokus.

"Jika semua berjalan lancar, program dengan ISN OK, kecederaannya juga sudah pulih, Khairul sudah tidak boleh fikir benda lain lagi.

"Khairul perlu fokus bagaimana untuk meningkatkan prestasinya," kata Jefri ketika dihubungi.

Lalu yang bergelar juara remaja dunia sebelum ini mencatatkan 10.20s untuk menang di Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia pada Mac disusuli 10.13s di Kejohanan Trek dan Balapan Asia, Doha pada bulan lalu.

Khairul Hafiz mencatatkan 10.38s ketika menang di Sukan SEA 2017 kini disahkan cergas sepenuhnya daripada kecederaan dan dijangka kembali beraksi pada Julai di Sukan Universiti Dunia di Napoli, Itali.

Sebagai rekod, Khairul Hafiz adalah pemegang rekod kebangsaan acara 100m lelaki dengan kepantasan 10.18s dicipta di SUKMA Sarawak pada 2016 manakala Lalu melakar catatan sama ketika menjuarai Kejohanan Remaja Dunia di Finland tahun lalu.

Berita berkaitan:Lalu semakin 'menggerunkan'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 4:14 PM