MBAPPE (kiri) bertindak cemerlang bersama PSG dalam saingan Ligue 1 musim ini. — FOTO AFP
AFP

JUARA Perancis, Paris Saint-Germain menegaskan bintang serangan Kylian Mbappe akan kekal di kelab itu musim depan, sekalipun pemenang Piala Dunia itu membayangkan dia akan berpindah.

Pemain berusia 20 tahun itu berkata kelmarin, dia mahukan lebih “tanggungjawab, mungkin di PSG, mungkin di tempat lain” selepas memenangi anugerah pemain terbaik tahunan Ligue 1.

Namun PSG membalas menerusi satu kenyataan dalam Twitter: “Ikatan kuat menyatukan PSG dan Kylian Mbappe selama dua tahun dan cerita itu akan berterusan musim depan.

“Ia juga masa yang ditunggu-tunggu untuk melakar satu halaman besar dalam sejarah kelab kami, yang mana setiap pemain utama akan menerima ganjarannya, bekerja untuk skuad ini.”


MBAPPE (kiri) meraikan kejayaan PSG menjuarai liga bersama rakan sepasukan. — FOTO AFP

Komen Mbappe kelmarin, dengan Real Madrid dilaporkan berusaha untuk membawanya ke Sepanyol, tampak seperti sudah dirancang.

“Saya katakan apa yang saya mahu kata. Apabila anda berada di pentas anda boleh menghantar mesej, saya fikir sudah menyatakannya. Jika saya terus bercakap tiada guna juga dan itulah mesej yang saya mahu hantar,” jelas Mbappe.

Dia sering dikaitkan dengan perpindahan ke Madrid sejak memukau bersama pasukan juara Ligue 1, Monaco pada 2017 namun dia beralih ke PSG, awalnya secara pinjaman sebelum berpindah secara tetap dengan harga 180 juta euro (RM841 juta).

Bagaimanapun sejak Zinedine Zidane kembali mengemudi Real awal tahun ini, khabar angin mengenai Mbappe menyertai warga senegaranya dari Perancis di Santiago Bernabeu semakin memuncak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 11:05 AM