GYAN (kiri) enggan beraksi dengan Black Stars. — FOTO AFP
AFP

KAPTEN skuad kebangsaan Ghana, Asamoah Gyan mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa awal pagi tadi hanya beberapa minggu sebelum Piala Negara Afrika berlangsung.

Gyan berkata, keputusannya adalah satu cara membantah rancangan jurulatih Kwesi Appiah menafikannya peluang mengetuai pasukan Black Stars pada Piala Negara Afrika di Mesir, bulan depan.

“Selepas berbincang dengan keluarga dan pasukan... jika keputusan jurulatih memberikan lilitan kapten kepada pemain lain ketika saya turut dinamakan dalam skuad, saya mahu menarik diri daripada kejohanan itu,” kata pemain berusia 33 tahun itu dalam satu kenyataan.

“Saya juga mahu bersara daripada pasukan kebangsaan,” ujar penyerang Kayserispor itu.


GYAN (kanan) penjaring gol terbanyak Ghana. — FOTO AFP

Gyan bersara tidak lama menjelang Piala Negara Afrika yang bermula pada 21 Jun depan.

Black Stars berada dalam Kumpulan F bersama Cameroon, Benin dan Guinea-Bissau.

Gyan melakukan penampilan sulung antarabangsa pada usia 17 tahun menentang Somalia pada 2003.

Dia muncul penjaring gol terbanyak Ghana sepanjang zaman bersama pasukan kebangsaan dengan 51 gol dalam 106 penampilan.

Dia juga tampil beraksi pada tiga Piala Dunia – 2006, 2010 dan 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 11:27 AM