Zonjic mahu peminat ke stadium. FOTO NSTP
Malik Muhamad


HENTIKAN boikot dan tolong datang stadium.

Itulah rayuan dan permintaan pertahanan tengah Terengganu FC (TFC), Igor Zonjic kepada peminat setia skuad itu.

Pemain pernah beraksi bersama AC Milan dalam Liga Itali secara pinjaman pada 2014 itu menyuarakan perkara itu menjelang pertembungan dengan Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Jumaat ini.

Bekas pemain skuad kebangsaan Montenegro bawah 19 dan 21 tahun itu mengharapkan peminat yang mengadakan protes di luar pintu masuk utama stadium pada 14 Mei lalu selepas tewas memalukan 3-5 kepada kepada Petaling Jaya City FC (PJ City) dapat melupakan insiden itu.

“Bertemu Selangor sudah pastinya kami ingin memburu kemenangan kerana perlawanan ini sangat penting bagi kami lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri.

“Kami perlu penyokong datang ke stadium kerana mereka kekuatan kami. Tolonglah datang semula dan sokong kami serta hentikanlah boikot, tanpa peminat yang ramai, kami begitu terasa,” ujar Zonjic.

Pada pusingan pertama di Stadium Shah Alam, skuad Penyu sebelum ini dibimbing Irfan Bakti Abu Salim tewas tipis 0-1 hasil jaringan bekas pemain TFC musim lalu, Mohd Faiz Nasir.

Skuad Penyu kini dibimbing pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain selepas Irfan meletak jawatan mengejut, Rabu minggu lalu.

Mengulas lanjut,`kereta kebal’ TFC itu berjanji untuk merantai barisan penyerang lawan diketuai penyerang import baru dari Nigeria, Ifedayo Olesegun.

“Saya tidak banyak tahu penyerang baru Red Giants itu tetapi sudah bersedia mengekangnya dan pemain lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 3:47 PM