SHAHRUL Zaman menyerahkan jersi kepada Dinesvaran. - FOTO KRM
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

"KESILAPAN terjadi dalam perlawanan pertama bukan sukar diubah. Kami perlu lebih banyak 'bermain' dengan bola. Saya yakin menerusi latihan empat hari ini kami boleh atasi kelemahan itu."

Itu tegas ketua pasukan ragbi Malaysia, K Dinesvaran menjelang aksi menentang Korea Selatan di Stadium Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini dalam kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2019.

Kemenangan amat penting bagi skuad negara yang dijadual bertemu pencabar terkuat kumpulan, Hong Kong selepas ini dalam usaha untuk kekal di Liga Premier Ragbi Asia (ARC) musim 2020.

Ini berikutan skuad Hibiscus tunduk 52-14 kepada Korea Selatan dalam perlawanan pertama di Stadium Asia Namdong, Incheon pada 18 Mei lalu, biarpun dilihat bermula dengan baik di awal permainan.

Antara punca kekalahan angkara kelemahan pemain negara yang mudah kehilangan bola ketika menyerang dan gagal melakukan bentesan sekali gus diambil kesempatan pasukan lawan untuk melakukan 'try'.

Sementara itu, Dinesvaran atau lebih dikenali 'Dugro' mengingatkan rakan sepasukan lebih berhati-hati dan 'merantai' pergerakan pemain sayap, Yeonsik Jeong yang disifatkan 'arkitek' serangan Korea Selatan.

"Kami perlu lebih berhati-hati dan fokus terhadap pemain nombor 14 (Yeonsik). Bila bola dihantar kepada dia, baru mereka mula menyerang. Sebelum bola sampai kepadanya, momentum Korea Selatan tidak nampak lagi, jadi kami akan kawal di bahagian hujung," katanya pada Majlis Sidang Media ARC Divisyen Perdana di Majlis Sukan Negara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, pengurus pasukan merangkap Naib Presiden KRM, Amir Amri Mohamad dan ketua jurulatih kebangsaan, Bradley Moni Mika.

Menurutnya, tidak mustahil Malaysia mampu mengejutkan Korea Selatan dengan kelebihan bermain di laman sendiri.

Untuk rekod Malaysia tewas 35-10 kepada skuad sama pada kempen ARC 2018. Dinesvaran berkata, hanya dua pemain iaitu Sakiusa Terence Gavidi dan Seru Pepeli Naqasima mengalami kecederaan dalam perlawanan di Korea Selatan, namun tidak serius.

Selain Korea Selatan, Malaysia dijadual menentang Hong Kong di Hong Kong Football Club pada 15 Jun depan dan di Stadium Nasional Bukit Jalil (22 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 6:03 PM